REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

Thursday 12 March 2015

WUC 37


WAKE UP CALL 37

 

MASA pantas berlalu, tanpa menunggu sesiapapun. Pejam celik, pejam celik, usia perkahwinan Fahem dan Nur Sumayyah sudah mencecah ke lapan bulan. Pelbagai rintangan yang mereka tempuhi. Alhamdulillah, hingga ke hari ini mereka masih lagi suami isteri. Fahem masih terkejut dengan keajaiban yang dicipta bersama isterinya di dalam rumahtangga mereka.

            Jari-jemari yang dari tadi mengetuk papan kekunci komputer bimbit itu terhenti seketika. Dia merenung jam tangan yang tersangkut elok di tangan kirinya. Masih ada 15 minit sebelum jam satu tengah hari. Dia mengurut belakang tengkuknya yang terasa lenguh. Dipicit-picit sedikit bahunya agar reda sedikit rasa lenguh tersebut.

            Baru sahaja dia ingin shut down laptopnya, telefon bimbitnya menjerit minta diangkat. Tatkala melihat nama yang tertera di skrin, dia tersenyum kecil.

            Selepas memberikan salam…

            “Abang, datang ke sekolah sekarang. Perut Sumayyah sakit sangat ni, bang!” tanpa menjawab salam si suami, Nur Sumayyah terus memberitahu tujuan sebenarnya menelefon.

            “Kenapa?” soal Fahem.

            “Sumayyah rasa macam dah nak bersalin.” Jika tadi Nur Sumayyah tidak menjawab salamnya, kini Fahem pula terus mematikan talian telefon. Lekas-lekas dia menyimpan telefon bimbitnya di dalam kocek sebelum keluar dari pejabatnya lalu mengorak langkah menuju ke meja setiausahanya.

            “Saya ada kecemasan. Isteri saya dah nak bersalin! Mungkin petang saya tak masuk. Nanti awak tolong beritahu Tan Sri, okey,” Fahem berpesan sebelum dia berlari-lari keluar menuju ke pintu utama.

            Setiausahanya hanya mengangguk-angguk bagaikan burung belatuk. Tatkala matanya terpandang kelibat orang nombor satu Izzuddin Supplier Holdings, lantas dia menyampaikan pesanan anak sulung lelaki yang sudah berusia itu.

 

PUTRA SPECIALIST HOSPITAL

 

FAHEM mengelus perlahan pipi Nur Sumayyah. Sungguh lena isterinya tidur. Dia tidak mahu mengganggu. Perlahan-lahan, dia mengucup dahi si isteri. Biarlah isterinya rehat sepuas-puasnya setelah berhempas-pulas dua jam lepas untuk memberikannya dua orang putera sebagai penyeri hidup mereka.

            Fahem keluar dari bilik rawatan. Kelihatan emak dan abah mertuanya, serta kedua orang tuanya sedang menunggu di luar bilik. Mereka berempat serentak bangun dan mendekati Fahem.

            “Sumayyah macam mana?” soal Rafeah. Dia tidak sabar ingin melihat cucunya.

            “Ada, tengah tidur,” jawab si menantu. Mereka berempat masuk ke dalam bilik dengan perlahan. Rafeah dan Puan Sri Sharifah membelai-belai rambut Nur Sumayyah. Rafeah mencium pipi kiri anaknya manakala besannya pula mencium pipi kanan.

            Nur Sumayyah terjaga tatkala Fahem tiba sambil menolak sebuah troli yang menempatkan kedua orang anak kembarnya. Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin dan Abdul Ghani menjengah-jengah ke dalam troli tersebut.

            “Kembar ke?” soal daddynya. Fahem mengangguk sambil tersenyum. Semua mata memandang Fahem.

            “Subhanallah, budak ni! Bertuah punya anak! Dia tak cakap pun anak kembar!” balas Puan Sri Sharifah sambil menatap geram wajah anaknya.

            Fahem hanya tersengih. Lantas dia menapak ke sisi katil sementara dua pasang suami isteri itu sibuk mengerumuni cucu-cucu mereka.

            “Abang dah iqamatkan budak-budak tu?” soal Nur Sumayyah. Fahem mengangguk. Alhamdulillah… sambut Nur Sumayyah dalam hati.

            “Abang dah fikirkan nama untuk anak-anak?” soal si isteri lagi.

            Fahem mengangguk lagi. “Yang abang, namanya Tuan Farhan Izzuddin. Yang adik pula, Tuan Fahmi Izzuddin namanya. Okey tak nama tu?” tanya Fahem.

            Dengan lemah, Nur Sumayyah tersenyum. “Farhan Izzuddin – kegembiraanku, kemuliaan dan kekuatan agama. Fahmi Izzuddin – kefahamanku, kemuliaan dan kekuatan agama. Okey jugak tu. Pandai abang letak nama yang elok untuk anak-anak kita.” Sempat Nur Sumayyah memuji suaminya. Fahem hanya tersenyum kecil.

            “Sumayyah dah tengok anak-anak?” soal Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin.

            Nur Sumayyah tersenyum kecil sambil mengangguk. “Sekejap saja, daddy. Lepas bersalin, diorang bersihkan baby berdua ni. Lepas anak-anak menyusu dalam setengah jam, Sumayyah dah tidur terus.” Jawabnya.

            “Abah tengok, cucu-cucu abah ni… muka handsome macam Fahem. Tapi hidung ikut Sumayyah, kemek. Mulut pulak, muncung aje.” Sakat Abdul Ghani. Rafeah menyiku sedikit pinggang suaminya.

            “Hidung Sumayyah kemek sebab ikut hidung abahlah ni!” geram Nur Sumayyah kerana abahnya suka mengatakan hidungnya hidung kemek. Abdul Ghani tertawa dengan jawapan anaknya.

            “Habis, mulut muncung ikut mulut siapa pulak?” soal Abdul Ghani lagi. Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin dan Puan Sri Sharifah tidak dapat menahan gelak lagi. Fahem sudah tersengih-sengih.

            “Abang jangan nak lebih-lebih ya! Tahulah masa saya mengandung Sumayyah, mulut saya selalu memuncung!” belum sempat Nur Sumayyah menjawab, ibunya sudah memberikan jawapan bagi pihaknya.

            Satu jelingan maut Rafeah hadiahkan untuk suaminya. Abdul Ghani langsung tidak takut dengan jelingan itu malah sempat lagi dia ketawa hingga lupa dunia.

            “Awak tak bagi apa yang dia idamkan ke, Encik Ghani?” soal Puan Sri Sharifah setelah ketawanya reda sedikit.

            “Bukan. Dia nak pergi tengok wayang, cerita Hindustan. Saya dah berjanji nak bawa dia pergi. Last minute, tiba-tiba pulak ada panggilan kerja. Bila dah jadi polis, Puan Sri tahu sajalah mana yang jadi keutamaan. Tu yang sampai dah tua pun, mulut dia kekal muncung.” Panjang lebar Abdul Ghani memberikan jawapan.

            Kedua-dua besannya, termasuk anak dan menantunya tergelak sakan mendengar jawapan polis pencen itu.

            “Abah ni, ada-ada saja. Fahem nak ke surau sekejap. Kejap lagi Fahem datang semula.” Beritahunya kepada semua. Persoalan tentang muncung Rafeah terus mati.

 

NUR SUMAYYAH berpantang di rumah orang tuanya. Dia mahu berpantang di rumahnya sendiri namun emak dan emak mertuanya lekas membantah. Keadaan bertambah pening apabila kedua-dua wanita itu hampir bertekak untuk menjaga dia berpantang nanti. Akhirnya, Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin meminta agar isterinya mengalah memandangkan di rumahnya, ramai. Fateeha… jika memanggil Zariff dan Afiq yang bersebelahan bilik sahaja, hingga ke kebun belakang suara anak tunggal perempuannya itu boleh dengar. Di rumah besan mereka sunyi. Amanlah sedikit bayi-bayi itu mahu tidur. Akhirnya kedua-dua wanita itu mencapai kata sepakat. Apabila Nur Sumayyah mengandung kali kedua, dia akan berpantang di rumah orang tua Fahem nanti. Begitulah penangan orang-orang tua apabila mendapat orang baharu di dalam keluarga mereka!

            “Assalamualaikum anak-anak papa. Macam mana Farhan dengan Fahmi hari ni?” soal Fahem setelah pulang dari kerja. Setelah tiga minggu kedua-dua anaknya itu menjengah dunia, Fahem dapat melihat mereka lebih mengikut iras mukanya.

            Nur Sumayyah tersenyum sambil mencium tangan suami. “Abang nak air?” soalnya.

            Fahem menggeleng. “Tak apalah. Kalau nak abang boleh ambil sendiri.” Seboleh-bolehnya Fahem tidak mahu Nur Sumayyah terlalu banyak bergerak. Dia mencium pipi kedua-dua anaknya itu.

            “Abang dah nak mandi ke?” soal Nur Sumayyah tatkala melihat Fahem membuka kemeja kerjanya dan diletakkan di dalam bakul baju kotor.

            Fahem mengangguk. Nur Sumayyah bangun untuk mengeluarkan t-shirt dan tracksuit dan diletakkan di atas sofa. Kemudian dia menghulurkan tuala baharu kepada suaminya apabila melihat Fahem mahu mengambil tuala yang sedia tersidai di tempat penyidai.

            “Abang pakai tuala ni. Sumayyah nak basuh tuala tu,” ujar Nur Sumayyah. Tanpa banyak soal Fahem menghulurkan tuala di tangannya manakala tuala baharu di tangan isterinya diambil. Fahem terus melangkah ke bilik air.

            Lima belas minit kemudian, Fahem keluar dari bilik air. Dia menyarung trascksuit serta t-shirt. Kemudian Fahem melangkah ke meja solek dan berkaca di hadapan cermin. Menyisir rambut dan kemudian mengenakan kopiah untuk menunaikan solat Asar. Selesai semua, dia menyidai semula sejadah dan kopiah hitamnya diletakkan di atas meja solek.

            Dari tadi Nur Sumayyah memerhatikan tingkah suaminya. Dia merasakan yang dia mendapat semula Tuan Fahem Izzuddin yang dikenalinya ketika di Mesir dahulu.

            Fahem duduk di sebelah isterinya. Dielus seketika tangan si isteri.

            “Kenapa ni? Macam ada masalah saja?” soal Fahem tatkala melihat wajah isterinya yang seakan-akan keruh.

            Nur Sumayyah tersenyum kecil. “Tak adalah, pandai aje abang ni. Abang nak makan tak? Kalau nak makan, Sumayyah siapkan,” ujar Nur Sumayyah. Fahem menggeleng.

            “Tak apalah. Abang makan malam karang. Dengan mak, abah, Sumayyah sekali,” balas Fahem. “Nak jalan-jalan kat bawah tak?” sambungnya.

            Nur Sumayyah mengangguk namun seketik kemudian, dia teringatkan anak kembarnya.

            “Diorang ni macam mana? Karang kalau terjaga, melalak pulak.”

            “Ya tak ya jugak. Takkan sayang nak terperap dalam bilik ni saja? Hmm… ha… macam ni.”

            Nur Sumayyah sedikit terkejut tatkala suaminya menyebut ‘ha’ tadi. Lantas dia memukul sedikit bahu suaminya.

            “Abang ni, terkejut anak ki..” belum habis ayatnya, Farhan sudah merengek-rengek. Fahem tersengih-sengih bagai orang tidak bersalah.

            “Lepas Maghrib nanti kita bawa budak-budak ni turun bawah sekali. Biar dia dapat angin yang lain pulak.” Nur Sumayyah mengangguk setuju.

            Nur Sumayyah menjeling seketika jam di dinding. 6.30 petang. Dia ingin mengelapkan badan kedua-dua bayi dan menukarkan baju mereka. Fahem yang faham rutin setiap petangnya, segera membantu. Seperti biasa, dia akan menyiapkan pakaian berlengan panjang, barut, lampin pakai buang, sarung tangan dan kaki serta barangan-barangan bayi yang lain seperti minyak, losyen dan bedak.

            Selesai sudah kerja Nur Sumayyah membersihkan anak-anaknya. Tanpa disedari, lagi setengah jam azan Maghrib akan berkumandang dari surau di taman ini. Fahem segera mengambil wudhuk dan duduk membaca Al-Quran di atas sejadah sementara menunggu azan.      

 

 

 

BANDAR MELAKA, MELAKA

 

DIA nekad dengan keputusan yang diambil. Dia sudah tidak peduli jika dia ditangkap polis sekalipun. Yang penting, hatinya benar-benar puas. Padanya, jika dia tidak dapat lelaki itu, wanita lain juga tidak patut memiliki lelaki itu. Walaupun lelaki itu sudah memberikan generasi baharu untuk orang tuanya, dia tetap ingin menghalang lelaki itu dari menggapai bahagia.

            Wanita itu menoleh ke kiri, melihat salah seorang penyiasat peribadinya memasukkan gambar-gambar di dalam sebuah sampul surat putih pos ekspres.

            “Dah siap?” soalnya. Lelaki yang berusi awal 30-an itu menganggukkan sedikit kepalanya. Dia menulis nama penerima pada slip pos ekspres. Dia meletakkan nama palsu pada ruang pengirim, tetapi meletakkan alamat kondominium Fahem sebagai alamat pengirim. Selesai tugasnya, dia menyerahkan sampul pos ekspres tersebut kepada bosnya. Wanita itu tersenyum gembira. Dia membelek-belek seketika bungkusan tersebut. Setelah berpuas hati dengan nama dan alamat yang tertera pada slip pos ekspres tersebut, dia menyerahkan semula benda itu kepada penyiasat peribadinya.

            “Aku nak kau hantar ke pejabat pos esok. Rasanya petang nanti ataupun lusa, dia akan dapat.” Arah wanita tersebut. Lelaki itu mengangguk faham. Elok sahaja lelaki itu membuka pintu bilik wanita tersebut untuk keluar, seorang lelaki keluar dari bilik air. Dia memandang wajah teman wanitanya yang saban hari semakin cantik dan semakin menggoda.

            Dia memeluk wanita itu dari belakang ketika wanita itu leka menikmati pandangan dari balkoni dalam bilik utama tersebut.

            “So, dah settle ke belum dendam you?” soal si teman lelaki sambil menongkatkan dagunya pada bahu kanan wanita tersebut. Wanita tadi tersenyum, lantas membelai pipi lelaki tersebut.

            “I tak sabar nak tengok reaksi isteri dia. Seorang ustazah… bila dia tahu the other side of her husband, mesti dia akan minta diceraikan. Betul tak sayang?” tanya si wanita. Si teman lelaki yang dari tadi asyik menikmati haruman pada tubuh wanita itu, mengangguk-anggukkan kepalanya bagai burung belatuk.

            I don’t give a damn of what you feel. I just give a damn of…

            Don’t worry, darling. I know where you just give your damn…” lirikan mata wanita itu membuatkan teman lelakinya bertambah tidak keruan.

 

LEBUH AMJ, MELAKA

 

“AKU yakin, Zam. Inshaa ALLAH, jika betul niat kita, ALLAH akan mempermudahkan segalanya.” Ucap Fahem dengan penuh yakin. Dia dan Nizam sedang dalam perancangan untuk membina sebuah ladang buah-buahan di kampung neneknya.

            Mereka berdua telah membuat kajian. Fahem mendapati, hampir separuh daripada anak-anak muda di kampung itu langsung tiada pekerjaan. Hanya tahu melepak pagi, petang, siang dan malam. Lebih teruk, ada seorang dua umurnya hampir ke four series, tetapi masih sibuk dengan gitar cabuk dan melepak bersama anak-anak muda yang lain di tepi-tepi jalan. Mengganggu wanita-wanita kampung. Emak bapak di rumah, tidak diambil peduli. Hanya tahu jalan menuju pulang ke rumah apabila perut berbunyi dan rasa mengantuk mula menguasai diri.

            “Buah apa yang kita nak tanam?” soal Nizam sedikit bingung. Fahem tersenyum kecil. Dia tahu Nizam faham sangat dengan projek mereka. Entah kenapa, hari ini Muhammad Adham Nizam menjadi sebangang-bangang manusia!

            “Zam, kan kita dah bincang tentang perkara ni. Part mana lagi yang kau tak faham?” bengang pula Fahem dengan telatah bakal adik iparnya ini.

            Nizam hanya tersengih-sengih bagai orang sengal. Baru sahaja dia ingin membuka mulut untuk mempertahankan dirinya, tiba-tiba sebuah kereta melanggar belakang kereta Fahem.

            “Celaka!” Fahem menyumpah. Walaupun dia berkaca mata hitam di waktu tengah hari itu, matanya cekap menangkap nombor pendaftaran kenderaan dan jenis kereta yang melanggarnya. Nizam yang terkejut sama turut memandang kereta yang semakin lama semakin mengecil dan menghilang dari pandangannya.

            Lantas Faham keluar dan menuju ke belakang keretanya. Bumper keretanya remuk pada bahagian tengah. Hatinya menyumpah-nyumpah lagi pada pemandu kenderaan yang melanggarnya tadi.

            Tidak sampai lima minit, sebuah BMW X5 muncul di hadapan Fahem. Razif dan Kamal turun dari kenderaan tersebut.

            “Bawa kereta aku ni ke bengkel. Lepas tu, kau tolong siasat kereta ni. MBY 105, Honda Accord warna hitam. Aku nak tahu siapa pemilik dia. Kau siasat sekali siapa yang berani sangat nak bermusuh dengan aku! ASAP!” sekali harung Fahem memberi arahan. Razif mengangguk faham. Dia sebagai PA kepada lelaki itu, semua arahan mesti dipatuhinya.

            “Siapa berkawal kat rumah aku?” soal Fahem. Walaupun Ozana Villas menyediakan perkhidmatan pengawal, dia tetap curiga jika rumahnya diintip musuh-musuhnya. Oleh itu, dia menyuruh Razif dan Najib tinggal di situ seketika. Dia cuma menjenguk pada setiap hujung minggu sahaja.

            “Najib dan Azmi.” Jawab Razif, ringkas dan padat. Fahem mengangguk faham. Dia percaya pada Razif seratus peratus. Dia kembali semula ke keretanya untuk mengambil beg kerjanya serta beberapa buah fail. Kemudian dia mengajak Nizam untuk ke keretanya yang lagi satu. Razif dan Kamal segera meluru ke kereta yng sudah dicium belakangnya itu.