REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

Thursday 6 November 2014

WUC 34


WAKE UP CALL 34

 

IPK MELAKA, BUKIT BERUANG

 

“BERAPA banyak musuh kau ni, sebenarnya? Kejap tayar kereta kena tembaklah, pejabat kena geledahlah! Fahem… Fahem…” bebel DSP Ryan tatkala rakannya duduk di hadapannya.

            “Eh… banyak pula bebel kau. Apa cerita kes pecah masuk pejabat aku? Dah boleh masuk ke belum pejabat tu?”soal Fahem. Tidak sabar menunggu hasil siasatan polis. DSP Ryan meneliti sebuah fail seketika. Kemudian, dia mengeluarkan sehelai kertas A4 lalu diletakkan di hadapan Fahem.

            “Pernah tengok tak?” soal DSP Ryan. Fahem memerhati betul-betul gambar itu. Terbeliak biji matanya. Apa lagi mahunya? Tidak mungkin mereka mencarinya kini? Apa salahnya kepada mereka?

            “Memang aku pernah tengok.” Jawab Fahem. DSP Ryan mengerutkan dahi. Dia tahu, ada lagi yang ingin dikatakan oleh rakannya itu.

            “Tapi…” DSP Ryan membiarkan ayatnya disambung Fahem.

            “Aku tak faham. Apa mereka nak dari aku… sampai kat sini mereka cari aku. Salahkah kalau nak menuntut keadilan?” bingung seketika kepalanya. DSP Ryan melepaskan nafas berat.

            “Manusia tamak haloba, memang macam tu. Celah mana pun kita pergi, mereka tetap akan cari walaupun kita tak salah dengan mereka. Pada kita, kita memang tak salah. Tapi pada mereka…? Fikirlah sendiri.” Kata-kata DSP Ryan mengingatkannya kepada Mazidah, setiausaha sementaranya. Wanita itu pernah memberitahunya beberapa minggu lepas bahawa seorang lelaki Inggeris telah mencarinya di pejabat. Apabila Mazidah mengatakan dia cuti sakit, lelaki Inggeris itu meninggalkan sekeping kad untuk dihubungi. Dia tidak terus menghubungi lelaki itu tetapi telah mengupah seorang penyiasat. Hasilnya sangat menakjubkan!

            Fahem mengeluarkan dompetnya dan menarik kad lelaki Inggeris itu.

            “Nah, aku rasa kau perlukan benda ni sebagai bahan bukti.” DSP Ryan membuat muka pelik namun tangannya tetap mengambil kad tersebut.

            “Siapa ni?” dibaca sekali lagi tulisan yang tertera pada kad tersebut.

            Arthur McCohen. Managing Director of Illionis Inc.

            “Dia sebenarnya salah seorang dari…” kata-katanya terhenti tatkala mendengar pintu bilik pejabat rakannya diketuk dari luar. Arahan masuk diberi.

            “Tuan, Tuan Razali minta tuan ke bilk mesyuarat. Ada taklimat tergempar.” Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal memberitahu. DSP Ryan mengangguk faham.

            Fahem yang faham akan situasi tersebut terus bangkit. “Oklah Ryan. Nanti kalau ada apa-apa perkembangan, kau telefonlah aku.” Mereka berjabat tangan sebelum Fahem keluar dari pejabat tersebut.

           

 

BANDA HILIR, MELAKA

 

BERKERUT-KERUT dahinya menadah kemarahan pihak sebelah sana. Jika tidak memikirkan habuan lumayan yang akan diterimanya, sudah lama dia menarik diri dari rancangan ini. Arahan terus didengar dengan teliti.

            “Kau ingat tak ni, apa yang aku cakapkan?” herdik orang di dalam talian.

            “Ya, Datuk. Saya faham. Saya akan jalankan rancangan kita secepat mungkin.” Mark mengesat peluh yang mula membasahi dahinya.

            “Kalau dah faham, apalagi… cepatlah jalankan! Aku nak hasilnya cepat! Cubalah jangan bagi darah aku naik!” Mark ditengking lagi.

            “Baik Datuk. Saya akan jalankan secepat mungkin.”

            “ Jangan nak baik Datuk… baik Datuk! Orang atas dah bising dah. Selagi tak ada hasil, jangan telefon aku!” dia sudah muak menerima desakan dari pihak atasannya berkenaan hal ini. Maka, dia perlu menyelesaikannya dengan segera.

            Tak lama kemudian, talian diputuskan. Mark menoleh ke kiri, melihat wajah pelik Fiona yang sedang merenungnya.

            “Apa pula masalah kali ni?” soalnya lagi sambil menyelak perlahan-lahan majalah Wanita di tangannya.

            “Apa lagi, hal itulah. Pening betul kepala I. Dia ingat, senang agaknya nak buat kerja tu!” tangannya mengeluarkan kotak rokok dari kocek seluar. Baru saja dia ingin mengeluarkan sebatang, kotak rokoknya dirampas oleh Fiona.

            “You ni, asalkan stress aje, rokok! Tak ada benda lain ke?” Fiona mencampakkan kotak rokok tadi ke atas meja. Mark mengeluh.

            “Habis, nak hisap apa lagi? Takkan you nak suruh I hisap dadah pulak setiap kali stress?” entah apa-apa betul sifat perempuan seorang ni. Mark benar-benar tidak faham! Fiona melepaskan nafas berat.

            “Terus terang I cakap. Bila I tengok you hisap rokok, langsung tak macho! Hilang watak ganas you!”

            Itu pula yang dibacanya? Mark sudah hilang sabar! “Habis pada mata you, siapa yang macho bila hisap rokok?” Fiona sudah tersenyum penuh makna.

            Mark menjulingkan matanya ke atas seketika.

            “Sudahlah Fiona. Dia dah kahwin. Dah nak timang anak dah. Tak payahlah nak teringatkan dia sangat. I yang ada depan mata you ni, tak nak pula you layan! Tak nak pulak you teringat!”

             Fiona menjeling. “Sebab you sentiasa depan mata I lah, I tak teringat kat you. Hari-hari pandang, bosan juga kan?” Mark menggeleng kepala. Apa-apa sajalah…

 

MEREKA masih leka membelek-belek baju bayi sedangkan tanpa disedari, waktu telah menginjak ke 2.30 petang. Si suami langsung terlupa mereka masih belum makan tengah hari. Makanan terakhir mereka adalah sarapan yang menghampiri jam sembilan pagi tadi.

            “Abang, warna pink  ni cantik sangat.” Ujar Nur Sumayyah sambil menunjukkan sepasang baju bayi kepada suaminya.

            Fahem mengangguk setuju namun seketika kemudian dia menggeleng.

            “Tak naklah warna tu. Kita tak tahu apa jantina anak kita, sayang. Kalau keluar perempuan tak apa juga. Sekali dapat anak lelaki, abang tak nak anak lelaki abang jadi ‘sotong kurita’.” Nur Sumayyah menjeling apabila mendengar ayat laser suaminya.

            “Apa abang cakap macam tu pulak?” mulut… laser yang amat! Tak padan dengan mafia!

            Fahem tergelak perlahan. “Abang bukannya apa… cuma berjaga-jaga.”

            Malas mahu melayan suaminya, Nur Sumayyah bergerak ke bahagian pampers dan tisu basah. Dia mencapai beberapa bungkus tisu basah dan lampin pakai buang bersaiz new born. Tak lama kemudian, Fahem datang kepadanya sambil membawa bakul yang berisi pakaian dan barangan bayi lain yang telah mereka pilih. Si suami menjeling seketika jam tangan.

            “Dah 2.45 petang. Jom, kita pergi makan. Nanti kesian anak kita lapar.” Ajak Fahem. Nur Sumayyah mengangguk akur. Selepas membayar, mereka keluar mencari destinasi untuk memenuhi perut masing-masing.

 

DOUBLECHEESE BURGER dua set.” Pesanan yang sama membuatkan dua insan saling berpandangan seketika. Terasa dunia sepi, hanya mereka sahaja berada di situ. Lama mata mereka bertautan, menikam hingga ke sanubari.

            Ketukan di meja kaunter mengembalikan mereka ke dunia nyata.

            “Encik, cik… satu pesanan yang sama ke?” Tanya pekerja McDonald’s berkenaan.

            “Bukan.” Jawab Mazidah.

            “Ya.” Fahem memberikan jawapan serentak. Pekerja tadi semakin bingung.

            “Bukan. Berlainan order. Makan sini ya, dik.” Mazidah memutuskan. Pekerja tadi terus mengangguk. Sementara menunggu pesanan Mazidah sampai, pekerja tadi mengambil pesanan Fahem pula.

            “Kenapa tak sudi saya belanja awak?” soal Fahem. Mazidah hanya buat tidak tahu.

            “Sayang… I’m talking to you!” Fahem geram dengan sikap Mazidah. Baru sahaja Fahem ingin menambah kemarahannya, pesanan mereka sampai.

            Sebelum kembali ke mejanya, Mazidah sempat menyatakan sesuatu. “I’m not your sayang anymore!” Fahem terkedu dengan ayat tersebut.

 

NUR SUMAYYAH sibuk menyemak Kertas Ujian Percubaan Pendidikan Islam SPM. Menggeleng kepalanya tatkala membaca jawapan para pelajar, terutamanya di bahagian tajwid. Hampir sahaja dia ingin mengilai mengalahkan pontianak. Mana tidaknya… jawapan yang sepatutnya Mad Aridh Lissukun, bertukar menjadi Mad Arif Sukun. Tetapi itu masih boleh diterima lagi. Jawapan yang paling kelakar… Mat Sukun! Astaghfirullahalazim… mengucap panjang Nur Sumayyah sambil menahan perut akibat terlampau banyak ketawa.

            Fahem malas mengambil tahu apa sebab isterinya tertawa hingga sakit perut. Otaknya masih memikirkan tentang kejadian di McDonald’s tadi. Wanita itu sedikit cengkung, namun keanggunannya tetap seperti dahulu. Fahem akui, dia masih menyayangi wanita itu, dan masih berharap dia akan menjadi isterinya. Lamunannya berkecai tatkala mendengar isterinya mengaduh kesakitan. Lekas-lekas dia mendapatkan isterinya di meja kerja.

            “Sayang ni, ingat-ingatlah sikit anak dalam perut tu. Ini tak, ketawa tak ingat dunia. Kan, dah sakit perut tu,” bebelnya sambil memimpin Nur Sumayyah menuju ke katil.

            Nur Sumayyah hanya tersenyum mendengar bebelan suaminya. “Abang ni, risau tak bertempat sangat,” rungut Nur Sumayyah.

            “Banyaklah Sumayyah punya tak bertempat. Karang kalau awak dah terberanak kat sini jugak, siapa nak jadi bidannya? Abang jugak!” Fahem masih belum berhenti membebel.

            Dia memimpin isterinya hingga ke katil dan mendudukkan wanita itu. Nur Sumayyah sudah kaget.

            “Abang nak buat apa ni? Sumayyah tak habis kerja lagi ni.” ujar si isteri sambil cuba bangun namun Fahem pantas menekan bahu isterinya agar duduk semula.

            “Sumayyah baring. Abang nak sapu Bio Oil kat perut tu.” Arah Fahem dengan tegas.

            “Kejap lagilah, bang. Sumayyah nak habiskan tanda kertas. Nanti Sumayyah tidur…”

            “Tak ada, tak ada… sekarang jugak. Gelak dah banyak-banyak, sakit nanti perut tu. Tiap-tiap malam nanti menggaru perut saja!”

 

BANDAR MELAKA

 

DIA sedang membelek satu persatu gambar yang bersepah di atas meja kopi itu. Hatinya puas dengan kualiti gambar-gambar berkenaan. Lebih puas lagi apabila melihat wajah-wajah yang terpapar di dalam gambar tersebut. Hatinya mula bersorak gembira. Dia tahu, tidak lama lagi misinya akan berjaya.

            Dia… seorang wanita campuran Yahudi-Amerika dan Melayu. Ayahnya, seorang lelaki perantau. Dihalau oleh keluarga kerana cuba mengasaskan sebuah ajaran sesat. Berkali-kali keluarganya cuba menariknya kembali ke pangkal jalan, namun… pendiriannya tetap teguh dengan ajaran sesat tersebut. Di Amerika, dia berkenalan dengan seorang wanita berdarah Yahudi-Amerika beragama Islam. Tatkala itu, barulah dia tahu bahawa tidak semua Yahudi membenci umat Islam. Atas dasar suka sama suka, mereka berkahwin. Perlahan-lahan, wanita itu menariknya semula ke pangkuan agama Islam. Pernah juga isterinya memujuknya untuk pulang ke kampung, namun dia tidak mengendahkannya.

            Wanita itu ketawa dengan senang hati. Dia mahu memastikan hasil dari kerjanya ini, akan memuaskan hatinya dan memberikan ‘kemenangan’ mutlak kepadanya. Jika dia tidak dapat, orang lain juga tidak akan dapat! Tak lama kemudian, telefon bimbitnya menjerit minta diangkat. Lalu lekas dia menjawab panggilan tersebut.

            “Dah sedia?” soal pihak sebelah sana.

            “Aku dah lama bersedia dengan semua ni. Cuma aku nak cari masa yang lebih sesuai.” Jawabnya.

            “Bila?”

            “Kau akan tahu kemudian.” Klik. Panggilan ditamatkan. Sekali lagi, pandangannya tajam menikam wajah lelaki yang tersenyum di dalam gambar itu. Sungguh, dia tidak sabar menunggu detik kejatuhan lelaki itu.