REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

Tuesday 6 January 2015

WUC 35




WAKE UP CALL 35


NUR SUMAYYAH merehatkan diri seketika untuk melepaskan lelah yang menghuni dirinya sejak pagi tadi. Dia menjeling jam di dinding. Hampir 4.30 petang. Lantas diambil alat kawalan jauh Astro dan membuka siaran TV Al-Hijrah. Sejak dua tiga minggu ini, dia suka menonton drama bersiri Iran yang bertajuk Ashpazbashi, bermaksud The Chef. Drama ini berkisar tentang seorang cef lelaki di sebuah restoran yang diuruskan oleh isterinya. Banyak kejadian lucu yang terjadi di dalam keluarga mereka.
       Nur Sumayyah suka menonton drama ini kerana para pelakon tidak bersentuhan untuk menunjukkan hubungan antara ibu, anak dan ayah. Walaupun tidak bersentuhan, namun watak mereka tetap hidup dan menjadi. Dia tidak suka pada drama Melayu yang bersentuhan semata-mata untuk menghidupkan watak. Jika sedikit, mungkin masih boleh dipertimbangkan lagi maafnya. Jika yang berlebih-lebihan, matanya benar-benar meluat.

      Dengan keadannya yang berbadan dua, kadangkala dia menjadi malas untuk memasak. Nasib baiklah dua minggu ini, suaminya tidak ada. Fahem ke Johor Baharu atas urusan perniagaan. Jadi selama dua minggu itulah dia bertapa di rumah orang tuanya.

      "Sumayyah." Panggil Puan Rafeah yang melabuhkan punggung di sebelahnya.

      Kepala anaknya tertoleh ke kanan, sambil memberikan senyuman manis untuk ibu tercinta.

      Puan Rafeah mengusap perlahan kandungan anaknya yang besar semacam sahaja.

      "Kamu ni… mengandungkan anak kembar ke, Sumayyah?" soal Puan Rafeah.

      Nur Sumayyah mengangkat bahu, tanda tidak tahu. "Tak tahulah, mak. Kenapa mak tanya macam tu?" soalnya lagi sambil matanya menala kaca televisyen.

Puan Rafeah merenung wajah penat anaknya seketika.

      "Bukan apa. Mak tengok, besar semacam perut kamu. Tu yang mak tanya." Jawab si emak tersenyum.

      Nur Sumayyah tertawa kecil.

      "Itulah mak. Fahem pun takut jugak tengok perut Sumayyah ni." balasnya sambil tersenyum kecil. Drama bersiri Iran telah tamat. Dia mahu bangun dan melangkah ke dalam biliknya untuk membersihkan diri namun tangan si ibu yang terlekat pada pahanya mematikan langkahnya.

      "Fahem balik bila?" soal Puan Rafeah. Sebetulnya, dia sudah ada jawapan namun dengan apa yang dilihat pagi tadi membuatkan hatinya berbolak-balik.

      Nur Sumayyah tersenyum kecil. Dia memandang wajah si ibu yang jernih. "Lagi dua hari. Kenapa mak? Mak tak suka Sumayyah duduk sini ke?" soalnya lagi walaupun dia tahu jawapan yang akan meniti di bibir tua itu.

     Pantas tangan Puan Rafeah menepuk lembut bahu anaknya. Dia tahu Nur Sumayyah tahu yang dia tidak kisah tentang semua itu. Lagipun, dia bukannya ada anak yang lain jika dia menghalang Nur Sumayyah dari datang ke rumahnya. Akhirnya mereka berdua tergelak.

      "Okeylah mak. Sumayyah naik dulu. Nak mandi, badan dah melekit." Puan Rafeah mengangguk lesu. Dia menghantar anaknya dengan sorotan mata. Puan Rafeah melepaskan nafas berat seketika. Otaknya kembali terarah dengan apa yang dilihat tengah hari tadi.

      Ketika itu, dia sedang berjalan-jalan bersama suaminya di Jusco Ayer Keroh. Kata suaminya, sudah lama tidak ke sana. Selepas makan tengah hari, dia pun menurut sahaja permintaan suaminya. Ketika berjalan-jalan di Jusco, suaminya ingin menikmati Chocolate Sundae di McDonald’s. Ketika pasangan suami isteri veteran itu duduk di sebuah kerusi bersebelahan patung McDonlad’s, Puan Rafeah terpandang sepasang manusia di dalam restoran makanan segera tersebut. Mereka bergelak ketawa bersama dua orang lelaki yang duduk di semeja dengan mereka.

      Sisi wajah anak muda itu membuatkan matanya terus-terusan melekat di situ sehingga suaminya ikut pandang ke mana arah mata isterinya namun si suami masih tidak mengerti apa-apa.

      "Apa yang awak pandang?" soal Abdul Ghani. Puan Rafeah tidak mampu untuk berkata-kata namun dia menggenggam erat tangan suaminya. Abdul Ghani tahu ada sesuatu yang tidak kena. Jika tidak, masakan pula isterinya erat menggenggam tangannya.

      "Kenapa?" perlahan-lahan Puan Rafeah memberitahu apa yang dilihatnya. Abdul Ghani segera membuang pandang. Tangan kirinya dikepal erat, bersatu dengan kegeraman yang mula bermukim di hati. Tangan kiri menantunya yang elok mengusap bahu kiri wanita yang duduk di sebelahnya membuatkan dia terus berdiri.

      "Tak guna punya menantu! Ingatkan dia betul-betul ke JB. Rupa-rupanya…" dia mahu melangkah namun tangan isterinya erat menggenggam lengannya sambil menggelengkan kepala. Dia memandang wajah sayu isterinya.

      "Jangan bang. Kita tanya dia betul-betul nanti. Abang jangan naik baran kat sini." Perlahan suara Puan Puan Rafeah menasihatkan suaminya.

      Baran bekas pegawai polis berpangkat ASP itu tidak boleh dibuat main. Tatkala menerima berita yang Nur Sumayyah menerima tembakan di kepala pun, lebih separuh dari perhiasan di rumah dipecahkan… inikan pula berita yang akan mendukacitakan satu-satunya anak yang mereka ada? Jawabnya memang bertalu-talu tubuh menantunya itu akan menerima peluru dari pistol Heckler & Koch P9S milik suaminya yang elok tersimpan di dalam laci di bilik mereka.

      Dengan marah yang tertahan, Abdul Ghani segera menarik tangan isterinya untuk beredar. Keinginannya untuk window shopping sudah hilang, gara-gara menantu tunggalnya!


BANDAR MELAKA, MELAKA

DAHINYA terus berkerut. Dia faham apa yang Ikramah katakan, namun dia tetap buat-buat tidak faham.

     "Apa lagi yang diorang tak puas hati? Aku tak usik pun diorang? Kenapa pulak pejabat aku terus-terusan jadi mangsa?" Fahem menarik nafas seketika. Dia masih bingung kenapa mereka masih mencarinya.

      "Dana, Fahem. Dana! Mereka nak kau terus lingkup!" ujar penyiasat muda itu.

      Ikramah dan Fahem sudah kenal sejak mereka bersekolah di Sekolah Menengah Agama Sultan Muhammad. Ikramah adalah seniornya. Ketika Fahem masuk di tingkatan satu, Ikramah sudah di tingkatan tiga. Pada mulanya, Fahem selalu juga menjadi mangsa buli Ikramah. Dia tidak pernah ditumbuk atau dibelasah. Selalunya dia dipaksa untuk membasuh baju, kasut, dan menyiapkan peralatan sekolah Ikramah. Oleh kerana Fahem selalu juga melawan, lama kelamaan Ikramah menghentikan pembuliannya dan akhirnya mereka menjadi kawan sehingga kini.

      "Aku tak peduli! Apa guna harta keluarga aku yang bertimbun kalau saudara seagama aku merempat di negara sendiri! Aku dan daddy aku akan terus membantu sehingga mereka benar-benar merdeka!" begitu bersemangat Fahem mengutarakan hujahnya. Dia pernah mengangkat senjata bersama-sama mereka dan melalui segala kesusahan yang dilalui oleh masyarakat di situ.

       "Bagus! Aku suka semangat kau. Aku pun… jika diberi peluang, aku nak juga bersama dengan diorang. Tapi apalah daya aku. Kau bertuah Fahem, sebab ALLAH dah pilih kau untuk berjuang dan berjihad bersama mereka. Dan aku bertambah bangga bila kau dengan daddy kau terus-terusan membantu mereka dari segi kewangan."

      "Tapi aku takut, Ik. Aku takut kalau mereka apa-apakan keluarga aku, terutamanya isteri aku." Fahem meluahkan kebimbangannya. Ikramah bangun dan menepuk perlahan belakang badan bekas juniornya.

      "Berdoa pada ALLAH, moga DIA melindungi keluarga kau."

"TERIMA kasih mak, abah, sebab sudi tumpangkan Sumayyah." Ujar Fahem setelah mereka selesai makan malam. Abdul Ghani yang masih belum ada hati untuk bermesra dengan menantunya hanya mengangguk sekali dua.
      "Apa pulak nak berterima kasih dengan kami? Kami ni orang tua dia. Dia sahaja anak yang kami ada. Lain kali kalau Fahem ada kerja luar kat mana-mana, letak saja Sumayyah kat sini. Lagi selamat daripada kau biarkan dia sorang-sorang kat rumah kau." Fahem yang sedang melepaskan asap rokok ke udara, hanya mengangguk akur mendegar kata-kata ibu mertuanya. Nur Sumayyah mengangguk setuju dengan kata-kata emaknya.

      Fahem menuju ke keretanya untuk mengambil ole-ole yang dibeli di Johor Baharu. Tatkala dia berpusing setelah menutup boot kereta, dia hampir diserang sakit jantung apabila ayah mertuanya tiba-tiba merenungnya dengan renungan yang terlampau tajam, bagai lembing yang digunakan oleh hulubalang-hulabalang untuk menjaga istana.

      "Want to explain it to me?" soal Abdul Ghani sambil menunjukkan gambar yang diambilnya dua hari lepas di telefon bimbitnya. Sebelum berlalu, dia sempat menangkap gambar kemesraan menantunya itu.

      Fahem terkedu seketika. Sebetulnya, dia tiada niat untuk bermesra dengan klien baharunya itu. Namun tatkala mereka berbincang perihal perniagaan, tiba-tiba sahaja Mazidah melangkah masuk sambil bergelak ketawa bersama Ikmal. Hati yang terlalu geram membuatkan dia mengambil langkah melulu begitu, semata-mata untuk membuatkan Mazidah cemburu.

      "Abah… Fahem memang tak ada skandal dengan mana-mana perempuan. Ni sebenarnya salah faham saja," Fahem tenang mempertahankan dirinya. Dalam diam, dia tetap gerun dengan ayah mertuanya ini. Dia tahu, Abdul Ghani mempunyai sepucuk pistol. Dia risau jika beberapa butir peluru akan tertanam di dalam badannya jika polis pencen ini hilang sabar.

      Abdul Ghani memeluk tubuh sambil matanya terus merenung tajam si menantu yang masih lagi tenang.

      "Kalau tak ada skandal, kenapa pula kamu suka-suka nak pegang perempuan tu? That woman is not your mahram!" Abdul Ghani mula menggunakan skil-skil yang ada sebagai bekas Pegawai Penyiasat suatu ketika dahulu.

      "Err… Fahem sebenarnya…" tanpa mendengar terlebih dahulu alasannya, si bapa mertua terus mencelah.

      "Kalau lepas ni abah dapat tahu yang kamu buat perangai macam ni lagi… tahulah macam mana abah nak mengajar kamu!" dengan niat mahu mengaburi mata anak tunggalnya, dia membantu Fahem menjinjit dua buah beg plastik masuk ke dalam.



NUR SUMAYYAH sudah lama dibuai mimpi namun mata Fahem masih terkebil-kebil merenung pendingin hawa yang sudah terpasang sejak mereka pulang dari rumah orang tua isterinya. Di telinga Fahem, masih terngiang-ngiang lagi amarah Abul Ghani kepadanya. Lantas, matanya dijeling ke kiri, merenung penuh kasih perut si isteri yang semakin membesar saban hari. Di matanya, masih terbayang-bayang kejadian dua hari lepas.

      Sebenarnya, dia sudah pulang awal dari Johor Baharu. Pada mulanya, dia memang ingin mengkhabarkan kepada isterinya namun dek kerana emosi yang tidak tenteram kerana urusan perniagaan yang menemui kegagalan, dia membuat keputusan untuk mendiamkan diri di kondominiumnya. Dia tidak mahu isterinya menjadi mangsa ketidaktenteraman emosinya.

      Dia berpusing ke kiri. Alangkah terkejutnya dia tatkala melihat mata si isteri sedang ralit merenung wajahnya. hai, anak dengan bapak sama saja, suka mengejutkan orang!

      "Abang tak boleh tidur ke?" soal Nur Sumayyah. Fahem mengangguk. Nur Sumayyah menegelus perlahan pipi suamimya.

      "Cuba abang buat solat Tahajjud. Insya ALLAH tenang abang tidur nanti." Nur Sumayyah memberikan saranan dengan nada lembut.

      Fahem terkedu seketika dengan saranan tersebut. Dia akui, sejak keluar dari Universiti Al-Azhar, ibadah malamnya semakin jauh ditinggalkan. Dengan tangan yang masih mengelus wajah suaminya, Nur Sumayyah terlena semula.

      Fahem memerhatikan lagi wajah isterinya. YA ALLAH, kau tetapkanlah hatiku hanya untuk dia seorang. Amin. Doanya dalam hati.

No comments:

Post a Comment