REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

Monday 19 September 2011

LLP 6

LIKU-LIKU PERASAAN 6

KAMPUNG HANG TUAH,
MELAKA

DATUK TUAN SHARRIFF sedang membaca surat khabar ketika pulang untuk makan tengah hari. Kekusyukannya membaca surat khabar membuatkan dia tidak menyedari Fatimah duduk di sisinya.
“Papa,” panggil Fatimah. Beberapa kali dipanggil, Datuk Tuan Sharrif tidak manyahut juga. Akhirnya, Fatimah menggoncang bahu tubuh papanya, barulah papanya tersedar. Terkejut juga Datuk Tuan Sharriff apabila bahunya digoncang beberapa kali.
“Ada apa Imah?” Soal Datuk Tuan Sharriff.
“Air untuk papa,” kata Fatimah sambil menunjukkan air jus oren yang diletakkan di sebuah meja kecil. Datuk Tuan Sharriff mengangguk.
“Papa, boleh Imah tanya satu soalan?” Datuk Tuan Sharriff baru berkira-kira untuk membaca semula surat khabar. Namun, permintaan Fatimah menyebabkan hasratnya terbejat.
“Soalan apa?” Soal Datuk Tuan Sharriff semula. Dia membetulkan duduknya.
“Kenapa Abang Sham selalu benci papa? Mungkin juga sebab papa main kayu tiga. Tapi apa yang Imah tahu, baru sekarang papa main kayu tiga. Itupun mama yang beritahu Imah pagi tadi. Tapi Abang Sham benci papa sejak zaman sekolah lagi. Kenapa?”Soalan ‘cepumas’ dari  Fatimah yang bertubi-tubi menerjah otak Datuk Sharriff.
Dia melipat surat khabar dengan kemas dan diletakkan ke tepi sambil membuka cermin matanya dan membersihkan cermin yang kabur.
“Imah tahu tak, sebenarnya Abang Sham kamu yang nak sangat jadikan kamu tu adik angkat dia.” Datuk Tuan Sharriff mula membuka lembaran sejarah dalam hidupnya yang sudah berkeluarga.



18 TAHUN LALU
HARI KEDUA HARI RAYA AIDILFITRI

“MANALAH si Arriff ni,tutup aje rumahnya. Jangan-jangan dia takde rumah tak?”Soal Muhammad kepada isterinya, Noraesah yang sedang mendukung Fatimah.
“Isyy, abang ni, takkanlah si Arriff tu nak mungkir janji dengan kita. Kita tunggu ajelah. Mana tahu nanti karang dia balik ke?” cadang Noraesah. Atas kehendak isterinya Muhammad masih menunggu.
Noraesah membaringkan Fatimah di sebuah bangku panjang di luar rumah Tuan Haji Sharriff. Manakala anak sulungnya, Fatimi duduk di atas ribanya.
“Sekarang dah pukul 5.00 petang. Kita tunggu sampai pukul 5.15. Kalau dia tak balik jugak, kita balik rumah.” Mereka sekeluarga masih menunggu.
Jam tangan  milik Muhammad yang terlekat di tangan kiri telah menunjukkan jam 5.15 petang. Akhirnya,Noraesah naik motor bersama Fatimi. Setelah itu, Muhammad menghidupkan enjin motor dan terus meninggalkan rumah agam milik rakan karibnya.
     
KERETA WIRA warna biru gelap milik Tuan Haji Sharriff berhenti di depan pagar rumahnya. Dia turun untuk membuka pintu pagar yang diselak dan dimangga dari dalam.
Fairuz yang berada di dalam kereta terkejut melihat seorang budak perempuan yang tidur di sebuah bangku panjang di luar rumahnya.
“Mak, siapa budak perempuan tu mak?” Soal Fairuz kepada Puan Hajah Rosmah yang sedang meriba Fasihah yang berumur setahun tiga bulan.
“Budak perempuan mana?”Soal Puan Hajah Rosmah kepada anaknya.
“Tu, yang tertidur di bangku panjang tu,”kata Fairuz sambil menunjukkan sebuah bangku panjang dengan jari telunjuknya.
Puan Hajah Rosmah keluar dari kereta.YA ALLAH, anak siapa ni? Bisik Puan Hajah Rosmah dalam hati.
Dia mendukung Fatimah dan memasukkannya ke dalam kereta. Fasihah pula diletakkan di belakang bersama-sama dengan Farriq, Farhana dan adik kembar Fairuz, Fakruldin.
“Siapa tu?” Soal Tuan Haji Sharriff apabila masuk semula ke dalam kereta.
“Entahlah bang tapi Mah macam pernah tengok muka budak ni.”Kata Puan Hajah Rosmah. Tuan Haji Sharriff menatap seketika muka Fatimah.
“Abang pun macam pernah nampak budak ni. Jangan-jangan ni anak si Mad tak?” Tuan Haji Sharriff menduga. Puan Hajah Rosmah memandang suaminya.
“Hisyy, abang ni, memandai-mandai aje. Entah-entah anak orang lain.
“Macam ni. Kita bawa dia masuk ke dalam rumah dulu.” Cadang Tuan Haji Sharriff. Isterinya mengangguk.
Kereta Tuan Haji Sharriff masuk ke halaman rumah mengikut arah stereng yang diputarnya.

RUMAH Muhammad dipenuhi dengan saudara-mara yang tidak putus-putus. Bak kata pepatah orang tua, ‘tak menang tangan’ untuk Noraesah berkemas dan mengeluarkan hidangan-hidangan yang patut. Namun, ada juga beberapa orang saudara-mara yang sudi menolong Noraesah walaupun ditegah dan disuruh duduk di ruang tamu sahaja. Begitulah suasana hari raya. Tidak kira di mana sahaja, pasti tidak putus-putus tetamu yang datang. Sekadar mahu memohon maaf jika ada tersalah silap apa-apa.
“Esah, Mad. Abang rasa kita dah lama tak bercuti. Abang rasa, mesti Imah dengan Timi suka,” kata Haji Hamka, abang sulung Noraesah. Hajah Hamidah juga mengangguk. Haji Hamka rasa ada yang tidak kena. Matanya meliar ke sana sini mencari sesuatu.
“Anak kamu si Imah mana?” Soal Haji Hamka. Muhammad dan Noraesah terkejut.
“Ada kat ruang tamu bawahlah. Main dengan Mukhriz.”
“Tak.” Haji Hamka menggeleng. “Biasanya, kalau abang datang ke rumah kau, dia akan salam abang dengan kakak kau dulu. Kemudian, barulah dia main dengan Mukhriz di ruang tamu bawah.” Terang Haji Hamka. Anggukan isterinya, Hajah Hamidah, menguatkan lagi hujah Haji Hamka.
Telefon  rumah Muhammad berbunyi. Muhammad mengorak langkah ke meja telefon.
“Assalamualaikum,”sapa Muhammad.
“Waalaikumussalam.”
“Kenapa tadi aku datang rumah kau, berkunci aje?”Soal Muhammad.
“Oh, aku ke rumah abah aku. Tiba-tiba abah aku tak sihat. Mintak maaflah kalau membuatkan kau menunggu. Kalau kau nak datang, malam ni kau datanglah. Aku tunggu. Lagipun, aku ada hal nak dibincangkan dengan kau.”
“Hal apa?” Soal Muhammad lagi.
“Kalau kau nak tahu, datanglah.”
“Jam berapa?”
“Tak kisahlah jam berapa. Kau datang jam 12 tengah malam pun aku tunggu.”
“Okeylah. Aku datang malam ni.” Akhirnya mereka mematikan talian masing-masing.


TUAN HAJI SHARRIFF sedang menunggu Muhammad. Jam dinding di dinding ruang tamunya yang berwarna coklat cair menunjukkan 8.20 malam. Sorotan lampu motor yang menembusi tingkap sliding rumah agam itu mengejutkan Tuan Haji Sharriff. Agaknya,si Mad dah sampai.
“Jemputlah masuk.” jemput Tuan Haj Sharriff apabila Muhammad, Noraesah dan Fatimi turun dari motor.
Tuan Haji Sharriff mengiringi rakkannya masuk ke dalam rumahnya.
“Jemputlah duduk,” kata Puan Hajah Rosmah sambil bersalaman dengan Noraesah. Tadi, dia menatang dulang yang berisi sejag air strawberi dan beberapa biji gelas dan diletakkan di atas meja sofa.
“Aku risaulah Arriff. Anak aku dah hilang.” Muhammad memulakan perbualan. Tuan Haji Sharriff saling berpandangan dengan isterinya dengan muka yang penuh dengan senyuman. Muhammad pelik melihat ulah rakkanya.
“Kenapa? Kau sindir aku ye sebab anak aku hilang?” Muhammad hampir saja menjadi berang.
“Sebenarnya, aku mintak kau datang pasal nak bincangkan hal anak kau.” Tuan Haji Sharriff mula berkata-kata. Muhammad dan Noraesah saling berpandangan.
“Kau terlupa nak angkat anak kau yang tertidur kat bangku depan rumah aku tu. Bila aku balik dari rumah ayah aku, anak aku nampak dia. Dan…” Tuan Haji Sharriff berhenti seketika. Muhammad yang sedang makan sepotong Kek batik juga terhenti. Dia memandang rakannya.
“Anak aku si Sham tu nak jadikan si Fatimah tu sebagai adik dia. Kiranya anak kau jadi anak angkat akulah. Aku nak mintak kebenaran kau. Boleh dia jadi anak angkat aku?” Tuan haji Sharriff meminta kepastian. Muhammad dan Noraesah saling berpandangan.
“Tapi kau kan ada anak perempuan yang lebih kecil dari dia?” Soal Muhammad.
“Memanglah. Tapi anak aku yang tu asyik menyusu aje. Dia tak mahu bermain dengan adik kecil dia tu. Si Sham tu kalau main, lasak. Budak umur setahun lebih, mana pandai jalan sangat. Sebab tulah bila nampak anak kau, dia kata nak adik perempuan yang pandai jalan.” Terang Tuan Haji Sharriff. Muhammad menganggukkan kepalanya.
“Kau kawan aku. Aku percayakan kau.” Kata Muhammad.
“Jadi kau tak kisahlah ni?” Tuan Haji Sharriff ingin meminta kepastian sekali lagi.
“Tak.” Jawab Muhammad.
“Kau janganlah risau. Nanti bila hujung minggu atau cuti sekolah bila dia dah sekolah nanti, aku bawalah dia ke rumah kau. Tidur sana barang dua tiga malam.” Muhammad dan Noraesah mengangguk. Tanda faham. Puan Hajah Rosmah menjemput tetamunya makan. Mereka dihidangkan dengan juadah-juadah hari raya.


TIGA BULAN KEMUDIAN

FAIRUZ sedang bermain dengan Fatimah di sebuah pondok yang tidak jauh dari kolam ikan. Tuan Haji Sharriff sedang membaca surat khabar di beranda rumah. Entah apa salah Fatimah, tiba-tiba sahaja Fairuz menamparnya dengan kuat. Fatimah tiba-tiba menangis. Dia mencari-cari seliparnya di bawah pondok dan berkira-kira untuk masuk ke dalam rumah.
Jarak antara pondok dan beranda rumah yang dekat menyebabkan Tuan Haji Sharriff mendengar tangisan Fatimah. Anak perempuan itu tiba-tiba muncul di hadapannya.
“Kenapa dengan anak papa ni?” Soal Tuan Haji Sharriff dengan lembut. Dia membelai rambut Fatimah yang panjang dan lurus. Fatimah mengesat-ngesat matanya.
“Abang Sham… tam… tampar Im… Imah,” kata Fatimah dalam sedu-sedannya. Tak guna kau Hisham! Jerit Tuan Haji Sharriff dalam hati.
“Hisham,” Tuan Haji Sharriff menjerit-jerit memanggil nama anaknya. Fairuz masuk ke beranda dengan muka yang selamba.
Tanpa diduga, Tuan Haji Sharriff menampar Fairuz dengan sekuat hati. Hingga berpusing 180 darjah kepala anaknya.
“Kenapa kau tampar adik? Kenapa kau tampar sampai merah menyala pipi Imah? Beritahu ayah!” Tuan Haji Sharriff menyoal dengan suara yang terlalu keras. Air mata Fairuz mula mengalir. Puan Hajah Rosmah tiba-tiba muncul di muka pintu. Fairuz meluru mendapatkan emaknya. Dipeluknya kaki Puan Hajah Rosmah seerat yang boleh.
“Kenapa ni bang?” Soal Puan Hajah Rosmah sambil membelai rambut Fairuz yang nipis dan berminyak itu. Air mata Fairuz semakin deras mengalir. Bagai air terjun yang deras mengalir ke bawah.
“Dia tampar si Imah. Kalau perlahan tak apa. Ni, sampai merah menyala. Bengkak pulak tu. Dahlah si Imah anak angkat kita.” Luah Tuan Haji Sharriff kepada isterinya.
“Sham, kenapa tampar adik?” Puan Hajah Rosmah bertanya dengan lembut. Dia tahu, anak ketiganya ini mesti ditanya dengan lembut kerana dia anak yang nakal. Jadi, dijawab dengan lembut. Jika ditanya dengan kasar, dijawabnya dengan kasar atau langsung tidak jawab!
“Im… Imah bal… baling… mainan… Sham,” katanya terketar-ketar. Dia perasan ayahnya memandangnya dengan panahan mata yang cukup tajam. Dia terus memeluk kaki emaknya.
“Mari sini ikut ayah! Ayah nak kurung kau di stor lama!” Kata Tuan Haji Sharriff sambil menarik tangan anaknya. Fairuz merentap tangannya dengan kuat. Dia pun tidak pasti, dari mana dia mendapat kekuatan itu. Tuan Haji Sharriff terkejut.
“Ayah jahat! Ayah jahat! Ayah lebih sayangkan anak angkat dari anak kandung sendiri!” Fairuz menjerit dalam tangisannya. Kedua ibu bapanya terkejut. Namun Tuan Haji Sharriff tidak mempedulikan kata-kata anaknya.
“Kau degil ya?” Tuan Haji Sharriff naik ke atas dan turun dengan tali pinggangnya. Dia memukul belakang badan Fairuz dengan tali pinggangnya.
“Abang, jangan pukul dia abang. Dia budak lagi. Apa yang dia tahu?” Puan Hajah Rosmah merayu kepada suaminya. Tuan Haji Sharriff tidak mempedulikan rayuan isterinya. Dia terus memukul Fairuz. Bercalar-balar belakang badan Fairuz akibat dipukul teruk oleh ayahnya. Walaupun dia meraung, ayahnya sudah tidak mempedulikannya lagi. Dia sudah hilang pertimbangan. Tuan Haji Sharriff bagai dirasuk syaitan.
Puan Hajah Rosmah menarik tangan suaminya yang galak memukul Fairuz. Dirampasnya tali pinggang dari tangan suaminya. Tuan Haji Sharriff terkejut.
“Kau jangan nak masuk campur. Aku belasah kau nanti!” Kemarahan Tuan Haji Sharriff sudah maksimum. Tanpa mempedulikan isterinya, dia mengheret anaknya terus masuk ke stor lamanya. Dia mengenakan mangga solex pada rantai besi di pintu stor lama dari luar.


“AYAH JAHAT! Ayah jahat! Ayah memang tak pernah sayangkan Hisham!” Fairuz membentak dalam hatinya. Dia menangis teresak-esak. Di sebuah sudut, dia ternampak seekor anak ular sawa. Anak ular sawa tu hanya memandang Fairuz tanpa berkerdip matanya.
Fairuz seakan-akan ternampak air mata simpati yang mengalir dari mata anak ular sawa itu. Mungkin anak ular sawa itu tidak mahu air matanya dilihat, dia pusing ke belakang. Di situ, ada sebuah lubang kecil dan anak ular sawa itu terus hilang.
“Ayah jahat! Anak ular tu pun tahu bersimpati pada Sham!” Fairuz menjerit lagi. Di sebuah sudut, Fairuz ternampak pula seekor biawak yang besar. Biawak tu semakin lama semakin dekat dengan Fairuz.
“Ayah, mak, buka pintu stor ni. Ada biawak besar nak gigit kaki Sham!” Fairuz tetap menjerit untuk mendapatkan simpati dari ayahnya atau sesiapa sahaja yang mendengarnya.

PUAN HAJAH ROSMAH tersentak apabila mendengar jeritan Fairuz. Dia memandang suaminya yang berselera menikmati makanan tengah hari. Hari ini, Puan Hajjah Rosmah langsung tiada selera untuk makan. Dia hanya teringatkan Fairuz. Tuan Haji Sharriff perasan isterinya tiada selera untuk makan tengah hari.
“Kenapa tak makan? Makanlah,” Tegur Tuan Haji Sharriff.
“Terfikirkan si Sham. Entah macam manalah agaknya keadaan dia.” Jawab Puan Hajah Rosmah. “Abang tak kesian ke dengar si Hisham tu terjerit-jerit?” Soal Puan Hajjah Rosmah.
“Kesian memang kesian.Tapi abang nak ajar dia.” Jawab Tuan Haji Sharriff  dengan selamba.
“Ajar tu, memanglah ajar. Hukum tu memanglah menghukum. Tapi sesuaikanlah hukuman yang abang beri dengan umur anak kita tu. Habis tu, takkanlah abang tak ada perasaan nak keluarkan dia dari stor lama tu?” Soal Puan Hajah Rosmah lagi. Suaminya memandangnya dengan panahan mata yang cukup tajam.
“Kalau kau suruh aku buat macam tu lagi, kau pun akan aku kurungkan dalam stor lama tu!” Farhana memandang Farriq dan Fakhruldin. Mereka mengangguk dan bersetuju untuk berkata sesuatu kepada ibu bapa mereka bersama-sama.
“Mak, ayah. Ustaz kami kata, tak elok bergaduh depan rezeki.” Farhana, Fakhruldin dan Farriq memberitahu ibu bapa mereka bersama-sama. Kata-kata itu menyebabkan Tuan Haji Sharriff dan Puan Hajah Rosmah terdiam.

TAN SRI TUAN UMAR keluar dari kereta Volvonya. Tiba-tiba, dia terdengar suara ada orang menjerit. Puan Sri Rabaisyah yang baru keluar dari kereta juga terdengar jeritan seorang kanak-kanak lelaki.
“Ayah! Mak! Tolong buka pintu stor ni, biawak besar nak gigit kaki Sham!” YA ALLAH, Hisham. Tan Sri Tuan Umar lekas mencari sesuatu. Kebetulan, ada pengetuk di luar stor. Diambilnya pengetuk itu dan mengetuk rantai besi sehingga rantai tersebut putus. Kemudian,dia membuka pintu stor itu. YA ALLAH, nasib baiklah tiada apa-apa yang menimpa cucu kesayanganku. Syukur alhamdulillah.

“KAU dah tak sayangkan anak kau lagi ke Arriff? Kalau kau dah tak sayangkan anak kau, biar abah dan umi aje yang jaga dia,” Soal Tan Sri Tuan Umar apabila dia masuk ke rumah anaknya. Tuan Haji Sharriff terdiam. Fairuz duduk di atas riba datuk kesayangannya.
“Takdelah abah. Bukan Arriff tak sayang anak Arriff sendiri. Tapi, dah ditamparnya si Imah tu sampai bengkak pipi budak tu. Mana Arriff tak geram? Lagipun, umur budak tu baru dua tahun lebih. Kalau dia anak kandung Arriff, tak apalah. Ni, anak angkat. Anak si Mad tu! Apa yang Arriff nak jawab kalau dia nampak muka anaknya bengkak? Nanti dia kata Arriff tak reti nak jaga anak dia,” Tuan Haji Sharriff mempertahankan dirinya. Sebagai seorang peguam, dia tidak pernah kalah pada setiap perbicaraan.
“Abah tahu anak abah yang sorang ni memang seorang peguam. Tapi takkanlah disebabkan anak kau melakukan kesalahan kecil, kau hukum dia hingga sebegini rupa? Kau percayalah cakap abah. Satu hari nanti pasti anak kau tu akan bencikan kau untuk satu tempoh yang cukup lama. Dan dia akan dera hati dan perasaan kau macam yang pernah kau lakukan pada dia.” Serangan demi serangan dari Tan Sri Tuan Umar menyebabkan mulut Tuan Haji Sharriff terkunci rapat. Ayat-ayat terakhir dari Tan Sri Tuan Umar menyebabkan Tuan Haji Sharriff rasa menyesal. Datuk Tuan Sharriff dapat merasakan akan ada jurang yang sungguh besar antara dia dan Fairuz.

No comments:

Post a Comment