WAKE UP CALL 32
“Betul ke apa yang kau cakap ni,
Kamal?” soalnya dengan muka yang merah menahan marah. Kamal mengangguk sambil
menghulurkan surat khabar Utusan yang disimpannya sejak pagi tadi. Dia tidak
perasan akan berita itu ketika membacanya pagi tadi. Petang tadi ketika dia
sedang duduk bersantai di rumahnya, Habib menelefonnya dan menyampaikan berita
tersebut.
“Mana kamu dapat
maklumat ni?” soalnya lagi, seperti tidak percaya dengan kenyataan yang baru
diketahuinya. Sambil itu, tangannya pantas membaca satu demi satu berita di
bahagian Niaga. Kemudian matanya tertangkap sebuah berita yang dicarinya.
“Kawan saya, Habib
yang sampaikan.” Jawabnya dengan jujur. Datuk Amidun menenangkan diri seketika.
Lekas dia menelefon rakan sekutunya.
“Mana Datuk dapat
maklumat ni?” soal si rakan sekutunya.
“Pengawal aku
beritahu.”
“Sahih ke tidak berita
ni?”
“Memang betul-betul
sahihlah! Kalau tak, takkanlah sampai masuk suratkhabar!” suratkhabar di tangan
dihempaskan sekuat hati di atas meja. Jantan sorang ni memang nak kena dengan
aku! Terkejut wanita yang berada di sisinya.
“Sayang ni kenapa?” wanita
itu mengusap lembut belakang badan Datuk Amidun, untuk menyejukkan lelaki itu.
“You tengoklah jantan
sial ni! Ada hati nak berlawan dengan I! I baru berniat nak beli syarikat ni,
dia dah rembat dulu. Tak boleh jadi ni!” dalam kepalanya sudah banyak rancangan
yang akan dilaksanakan jika dia berjaya mendapatkan syarikat pelancongan itu.
KELAB KOMUNITI DAN KEBAJIKAN memulakan
mesyuarat sebaik sahaja Fahem sampai.
“Jadi, apa acara untuk
hari keluarga tu nanti?” soal Fahem. Matanya masih jahat, merenung Mazidah yang
bersedia untuk menulis sebarang idea dan komen. Wanita itu yang tiba-tiba rasa
tidak selesa, mengangkat kepala. Alangkah terkejutnya dia tatkala melihat
panahan mata Fahem tepat pada wajahnya.
“Saya cadangkan pertandingan
karaoke. Dua kategori – solo dan berpasangan.” Aswad, Juruteknik Komputer
memberikan cadangan. Beberapa orang termasuk Fahem mengangguk setuju.
“Tuan Fahem, saya
cadangkan kita buat aktiviti untuk anak-anak staf. Saya rasa, sebelum ni kita
tak pernah buat kan?” Pengurus Pemasaran, Puan Hanani mengemukakan cadangannya.
Mata Fahem teralih ke
wajah wanita berusia 43 tahun itu.
“Bagus juga cadangan
awak. Takdelah budak-budak bosan. Tapi, apa game
mereka?” soal Fahem dengan serius. Sesekali dia bermesej dengan Nur
Sumayyah.
“Budak-budak punya
senang aje, Tuan Fahem. Buat istana pasir, cari gula dalam tepung, bawa bola
tenis dalam sudu… senang aje.” Jawabnya.
“Okey, bagus jugak
cadangan tu. Saya ada cadangan. Apa kata, kita buat sekali game untuk pasangan yang dah berkahwin? Setuju tak?” soal Fahem.
Tiba-tiba mereka semua berpandangan sesama sendiri. Memikirkan apakah yang
sedang bermain di dalam fikiran Ketua Pegawai Eksekutif mereka.
“Game apa Tuan Fahem?” soal Nur Suhaila. Fahem tersenyum penuh
makna.
TAMAT sahaja mesyuarat kelab Komuniti dan
Kebajikan, bergegas Fahem menuju ke tingkat lima yang menempatkan pejabat
Yayasan Izzuddin. Mesyuarat bulanan akan dimulakan dalam masa 15 minit lagi.
Fahem tidak suka tiba lewat jika sudah berjanji atau ketika mesyuarat. Padanya,
biarlah dia yang menunggu daripada dia menerima kemarahan orang kerana menunggu
dirinya.
Tiba
saja di pintu utama Yayasan Izzuddin, Fahem disambut dengan mesra oleh pengawal
keselamatan di situ. Mereka berbual seketika sebelum Fahem diiring masuk ke
bilik mesyuarat oleh penyambut tetamu di situ.
Tiba di bilik mesyuarat, hampir semua pengurus
sudah berada di situ. Mereka cuma menunggu Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin
kerana mereka dimaklumkan lelaki itu dikunjungi tetamu penting.
“KUTIPAN derma untuk tabung Palestin tu, dah
cukup? Dah tercapai atau belum sasaran kita?” soal Tan Sri Tuan Haji Ahmad
Izzuddin kepada pengurus yang berkenaan. Dia mula menubuhkan Yayasan Izzuddin
setelah mengetahui Fahem pernah menjadi sebahagian daripada anggota kumpulan
HAMAS. Sejak itu, sepuluh peratus
daripada pendapatan tahunan syarikatnya akan diserahkan secara terus kepada
Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh sebagai dana untuk pergerakan HAMAS
melengkapkan pergerakan itu untuk berjihad demi kemerdekaan negara mereka.
Kadangkala jika ada kelapangan, dia akan ke Palestin untuk bertemu dengan
Perdana Menteri Palestin itu. Ismail Haniyeh benar-benar terharu dengan
kesanggupan nya membantu kumpulan HAMAS dalam memperjuangkan hak orang
Palestin.
Untuk
membina sekolah, hospital dan lain-lain kemudahan, Yayasan Izzuddin menyediakan
dana khas yang diberi nama Untukmu Palestin. Dia tidak mampu untuk mengangkat
senjata bersama-sama dengan para pejuang yang lain demi Palestin tetapi dia
mampu melabur untuk saham akhiratnya. Kerjanya bertambah mudah apabila kesemua
ahli lembaga pengarah bersetuju dengan usulnya tanpa sebarang bantahan.
“Sebenarnya
Tan Sri, Alhamdulillah kutipan kita melebihi sasaran kita.” Jawapan ringkas
dari pengurus tersebut membuatkan semua yang ada dalam bilik mesyuarat itu
mengucapkan syukur Alhamdulillah kepada ILLAHI.
Seterusnya
mereka membincangkan tentang dana-dana lain. Antara dana-dana yang diwujudkan
oleh Yayasan Izzuddin adalah Dana Pendidikan Rakyat, - untuk golongan miskin
dan sederhana melanjutkan pelajaran sama ada di dalam atau di luar negara, Dana
Kasih Sayang – untuk anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan, dan Dana
Usahawan Berjaya – untuk mereka yang benar-benar serius ingin memulakan
perniagaan. Bagi anak lelaki sulung Tuan Haji Izzuddin itu, ALLAH memberikan
dia rezeki yang banyak agar boleh dirasai bersama-sama dengan yang memerlukan.
Moga-moga TUHAN menerima segala kerja amalnya ini.
“DOKTOR cakap apa tadi, daddy?” soalnya
setelah dia duduk di sofa tetamu. Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin yang belum
berpeluang berehat untuk sesaat dua, merenung lama wajah anaknya.
“Alhamdulillah,
tak ada apa-apa kecederaan serius pada nenek kau tu. Cuma dia kena berehat
lebih sikit. Daddy ingat, dalam dua minggu ni, daddy dengan mummy nak tidur
rumah nenek kamu. Nak ikut?” cadangnya. Fahem menggeleng.
“Kalau
Fahem nak tidur sana pun, tengoklah dalam hari Jumaat ke… kesian pada Sumayyah
nak pergi kerja nanti. Kampung Tanah Merah tu kan, jauh ke dalam sikit. Takut
dia lambat ke sekolah saja.” Balasnya.
Si
ayah mengangguk faham. Seorang guru mestilah menunjukkan contoh yang baik untuk
para pelajarnya.
APA yang tak kena ni? Soal Nur Sumayyah di
dalam hati. Masuk yang ini, sudah kali keempat dia berulang-alik antara bilik
guru dengan tandas. Dari tadi, tidak henti perutnya asyik memulas seterusnya
memuntahkan segala isi perut. Matanya dikerling pada jam tangan yang tersangkut
pada tangan kirinya.
Membulat
matanya melihat jarum jam tersebut. Lagi 10 minit untuk ke 11.20 pagi.
Lekas-lekas dia berkumur dan kembali ke meja kerjanya.
Kebetulan
ketika dia sampai ke mejanya, dia ternampak kelibat Zariff di luar bersama
Cikgu Ikhwan, guru Sejarah tingkatan 4 Bestari. Sejak Ikhwan melaporkan diri di
sekolah ini, gred matapelajaran Sejarah yang diajar olehnya semakin melonjak.
Jika sebelum ini ramai yang mendapat C, gred mereka terus naik kepada A dan B. Pada
Nur Sumayyah, cara Ikhwan yang spontan dan kelakar membuatkan para pelajar hilang
mengantuk. Tambahan pula, lelaki yang sebaya dengan suaminya itu mempunyai
paras rupa yang sungguh kacak, ala-ala pelakon siri McBride, Matt Lutz. Nasib baiklah dia sudah kahwin, jika tidak di
sudah lama dia menyambut cinta yang dihulurkan Ikhwan ketika dia baru bertunang.
Pantas
dia memanggil Zariff dan meminta ketua kelas itu membawa buku-buku nota yang
telah siap ditanda.
Ketika
sampai di kelas 4 Bestari, semua pelajar bangun untuk memberi salam dan dia
menjawab salam dengan muka yang semanis mungkin.
Baru
sahaja dia ingin memulakan sesi pembelajarannya, tiba-tiba perutnya bergelodak
lagi. Sebelum ke tandas untuk kali kelima hari ini, dia sempat memanggil
Zariff.
“Tolong
edarkan kertas-kertas ni pada semua. Siapkan sebelum Khamis ni.” Pendek sahaja
arahannya dan Zariff terus melaksanakan tanggungjawbanya.
“Ustazah
nak ke mana?” soal Zariff. Dalam kelas, dia akan memanggil ‘ustazah’. Jika
ketika mereka berbual di luar kelas, dia akan memanggil ‘kakak’.
“Tandas
sekejap.” Dengan langkah besar. Laju dia menapak keluar dan menuju ke tandas
yang terleltak di hujung blok.
“ABANG, bawa Sumayyah ke klinik boleh tak?
Asyik muntah saja dari pagi tadi. Takut juga kalau salah makan.” Pinta Nur
Sumayyah setelah masuk ke dalam kereta. Hari ini, dia rasa terlalu malas untuk
membawa kereta. Kerana apa malas, dia sendiri tidak tahu. Itupun jenuh juga dia
memujuk Fahem untuk menghantarnya, dengan syarat, berinya ‘upah’.
“Salah
makan? Sumayyah makan apa hari ni kat kantin?” soal si suami sambil memandu
dengan kelajuan 120 km per jam.
“Sumayyah
tak tahulah, sayang. Pagi tadi, cuma makan bihun goreng saja macam biasa.”
Dengan manja, dia melentokkan kepalanya ke bahu kiri Fahem. Walalupun sedang
memandu, Fahem sempat memberikan ciuman di kepala isterinya.
“Oklah,
kita pergi sekarang. Dah sekali jalan nak balik.” Fahem membuat keputusan. Nur
Sumayyah hanya menurut.
“Kalau
boleh, kita beli makanan kat luar sekalilah, abang. Sumayyah penat sangat hari
ni.” Tambahnya lagi. Si suami mengangguk akur.
“MACAM mana Ri?” soal Fahem setelah Dr. Amri
kembali ke mejanya. Nur Sumayyah yang turun dari katil pemeriksaan, duduk di
sisi suaminya.
“Tahniah
Fahem, Sumayyah. Kamu berdua bakal menimang cahaya mata.” Ucap Dr. Amri dengan
senyuman manis. Pasangan suami isteri itu saling berpandangan sebelum
masing-masing saling tersenyum.
“Dah
berapa minggu?” Tanya Fahem dengan nada gembira. Dr. Amri diam seketika. Dia
dapat melihat keceriaan pada wajah Fahem setelah mendapat berita isterinya
mengandung. Bukan wajah terkejut dan penuh kerisauan seperti kali pertama Fahem
membawa teman wanitanya yang mengandung ke sini. Dia tetap mendoakan agar Fahem
akan mendapat kebahagiaan bersama yang tersayang.
“Bukan
dah berapa minggu, tapi hampir dua bulan.” Jawabnya ringkas. Fahem terkejut
seketika. Dua bulan?
“Bukankah
aku baru nikah tiga bulan lepas? Takkan cepat sangat dapat hasil?” Fahem masih
bertanda-tanya. Dr. Amri tertawa kecil.
“Kalau
dah TUHAN nak bagi rezeki, cepat ke… lambat ke… tetap dapat. Lagi satu,
pastikan isteri kau makan ubat-ubat tu nanti. Kena makan ikut masa” Balasnya.
“PATUTLAH malas nak bawa kereta, mengantuk,
penat sangat sampai malas masak… rupanya ada penghuni kat dalam perut tu.” Usik
Fahem tatkala mereka menuju ke meja makan. Nur Sumayyah menjeling. Sebelum
sembahyang kena, waktu nak makan pun kena usik juga?
“Bukan
abang punya kerja ke tu? Sampai Sumayyah jadi malas sangat-sangat ni?” perlinya
sambil mengeluarkan dua bungkus Doublecheese
burger dan meletakkannya di dalam pinggan. Fahem meletakkan kopiah hitamnya
di atas meja.
Fahem
mencebik. “Jangan nak salahkan abang sorang. Sayang pun bagi kerjasama yang
padu juga, kan?” terus-terusan dia mengusik isterinya. Malas melayan si suami,
Nur Sumayyah segera ke dapur dan keluar semula sambil membawa semangkuk air
pencuci tangan. dia menghulurkan mangkuk tersebut kepada Fahem da si suami terus
mencelupkan sedikit jari-jarinya ke dalam mangkuk tersebut. Usai Fahem membaca
doa makan, mereka mula menjamu selera sambil menonton tv.
“Esok
nak abang hantarkan ke, nak bawa kereta sendiri?” soal Fahem. Kelihatan Nur
Sumayyah berfikir seketika.
“Tak
apalah, esok Sumayyah bawa kereta sendiri. Sebab abang cakap tadi, esok abang
ada mesyuarat penting, kan?” Fahem mengangguk.
“Esok
mengidam nak makan apa pulak?” soal Fahem setelah selesai menyudahkan
burgernya. Nur Sumayyah menjeling si suami.
“Esok
Sumayyah nak makan nasi Arab dalam dulang yang besar tu, beserta dengan ayam
belanda seekor!” terus meledak tawa Fahem mendengar jawapan Nur Sumayyah.
“Sayang,
Jumaat ni tidur rumah nenek abang eh. Saja nak jenguk nenek, macam mana keadaan
dia.” Pinta Fahem.
“Ok,
nanti, lepas balik kerja petang tu, kita terus ke sana.”
“Nek
sihat?” soal Fahem. Hajjah Zakiah hanya tersenyum tawar.
“Baik, Alhamdulillah.
Fahem dengan Sumayyah macam mana? Sihat?” soal Hajjah Zakiah kepada cucu
kesayangannya itu. Pasangan suami isteri itu mengangguk.
Muncul Tina, orang
gaji yang diupah khas oleh Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin untuk emaknya dari
dapur menatang sedulang cawan beserta teko. Diletakkan di meja kaca dan
dituangkan kedalam cawan.
“Jemput minum Tuan
Fahem, Puan Sumayyah, Hajjah.” Mereka mengangguk. Nur Sumayyah menghulurkan
cawan kepada Hajjah Zakiah dan suaminya.
“Dari tadi Fahem
sampai, Fahem tak nampak pun mummy dengan daddy. Budak dua orang tu pun tak
Nampak. Ke mana diorang semua?” soalnya, sedikit kebingungan.
“Biasalah daddy dengan
mummy kamu, kan selalu ke surau? Lepas tu bila dah berjumpa dengan kawan lama,
apa lagi… berborak sakanlah. Macam kamu tak kenal dengan daddy kamu kalau dah
lama tak jumpa kawan-kawan dia. Afiq dah tidur, mengantuk sangat petang tadi
main kat luar. Zariff pula temankan Fateeha keluar dengan Nizam.” Panjang lebar
si nenek memberikan jawapan kepada cucunya.
Hajjah Zakiah
memandang Fahem. Dari sudut mata tuanya, ada sesuatu yang tidak kena dengan
cucunya itu. Tidak riuh seperti selalu apabila pulang ke kampung.
Tak lama kemudian,
kedengaran suara orang memberi salam. Mereka bertiga menjawab salam itu
seadanya. Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin dan isterinya muncul di pintu utama.
“Kamu baru sampai ke,
Fahem?” soalnya sambil duduk di sofa.
“Ha ah, baru sampai.
Dalam 8.30 tadi.” Pendek jawapan Fahem. Seketika kemudian, Tina menjemput
mereka semua makan setelah makanan siap dihidang.
Lauk yang dimasak
cukup untuk membangkitkan selera mereka. Ayam kampung masak lemak cili api,
sambal belacan dan sup sayur. Fahem mula membaca doa. setelah doa diaminkan,
mereka mengambil sepotong buah epal sebelum memakan nasi. Memang itulah
lazimnya. Buah dimakan dahulu agar proses penghadaman makanan menjadi mudah.
Nru Sumayyah
menjalankan tugasnya. Mengisi nasi dan lauk untuk Fahem. Kemudian, dia mengisi
sesenduk nasi ke dalam pinggannya. Perlakuannya itu disedari oleh bapa
mertuanya.
“Sikit aje menantu
daddy ni makan? Banyak lauk nenek kamu masak, takkan sikit saja kamu ambil nasi
tu?” soal Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin dengan kemusykilan.
Nur Sumayyah
tersenyum. “Sumayyah masih kenyang lagi, makan buah mangga petang tadi banyak
sangat.” Jawabnya ringkas.
“Laaa… dah tahu nak
datang rumah nenek, kenapa makan mangga banyak sangat petang tadi?” soal Hajjah
Zakiah.
“Alah, dah dia
mengidam sangat nek, Fahem turutkan sajalah apa yang diminta,” jawabnya dengan
selamba lantas terus menyuap nasi ke dalam mulutnya. Perlahan-lahan, Nur
Sumayyah menyiku sedikit pinggang suaminya.
“Auww… sayang ni kenapa?
Salah ke apa abang cakap?” si suami terus membuat ‘innocent face’. Dia cuba menenangkan perasaannya tidak berapa
stabil hari ini.
“Mengidam? Kamu
mengandung ke, Sumayyah?” Puan Sri Sharifah sedikit terkejut dengan kata-kata
anaknya.
“Err…” Nur Sumayyah
kehilangan kata-kata.
“Hampir dua bulan.”
Fahem menyambungkan ayat Nur Sumayyah yang tergantung.
“Syukur
Alhamdulillah.” Sahut Hajjah Zakiah dan kedua orang tua Fahem. Puan Sri
Sharifah pun apalagi, terus menyendukkan seketul ayam beserta sedikit kuah
masak lemak cili api ke dalam pinggan Nur Sumayyah. Tan Sri Tuan haji Ahmad
Izzuddin pula dengan murah hati menyendukkan sup sayur ke dalam mangkuk kecil
dan dihulurkan kepada Nur Sumayyah. Namun, selera si menantu tiba-tiba mati.
Tidak tahu kenapa.
Perlahan-lahan Nur Sumayyah menyuapkan nasi ke dalam
mulutnya namun tidak tertelan. Dicuba juga beberapa kali, tetapi tetap
tidak boleh.
Kekhusyukan
masing-masing menghadap makanan membuatkan mereka tidak menyedari perubahan Nur
Sumayyah.
“Kenapa tak makan lagi?
Makanlah, nanti perut masuk angin.” Fahem bertanya dengan nada perlahan apabila
melihat nasi di pinggan Nur Sumayyah hanya luak tidak sampai suku pinggan.
“Sumayyah macam tak ada
seleralah abang. Tak tahu kenapa.” Jujur Nur Sumayyah memberikan jawapan.
“Dah abang cakap makan
tu, makan ajelah! Tadi Sumayyah juga yang tak sabar nak makan nasi, cakap lapar
sangat!” tiba-tiba Fahem meradang. Terkejut Hajjah Zakiah bersama anak dan
menantunya. Mereka bertiga saling berpandangan.
“Kamu ni kenapa
marahkan Sumayyah? Dah dia tak ada selera, nak buat macam mana? Takkan nak
dijolok juga anak tekaknya tu?” Tan Sri
Tuan Haji Ahmad Izzuddin mempertahankan menantunya.
“Tak adalah. Masa on the way ke sini, bukan main lagi dia
merengek macam budak kecil nakkan nasi. Bila dah dapat, tak nak pula
dimakannya. Menangislah nasi tu nanti, membazir aje.” Bebelan Fahem masih tidak
henti.
Nur Sumayyah hampir
menitiskan air matanya namun dia cuba bertahan.
Puan Sri Sharifah
menggeleng. “Kamu ni, kalau iya pun nak menegur, janganlah marah dia macam tu
sekali… depan rezeki pulak tu. Biasalah orang mengandung memang begitu… selalu
tak ada selera makan.” Puan Sri Sharifah menegur sikap si anak yang dirasakan
kurang biadap.
Selajur, pandangannya
teralih ke wajah Nur Sumayyah. “Sudahlah Sumayyah, kalau tak mahu makan nasi,
ratah sajalah lauk apa yang kamu nak. Betul cakap daddy kamu, dah tak ada
selera takkan nak dijolok juga anak tekak tu,” dia memujuk menantunya. Nur
Sumayyah hanya mengangguk akur.
Pandangannya dan Fahem
bersatu. Dalam pandangan itu, Nur Sumayyah menghantar satu mesej – takkan tak
boleh nak tegur elok-elok? Perlukah Sumayyah dimarahi?
“ABANG minta maaf, sayang… tak sengaja tadi.”
Fahem cuba meraih maaf dari isterinya.
Nur Sumayyah hanya
buat tidak tahu. Pandangannya masih terlekat pada siaran televisyen. Sebagai
seorang isteri yang sedang mengandung, dia benar-benar terasa dengan nada suara
Fahem tadi.
“Sayang…” dia cuba
meraih tangan isterinya namun Nur Sumayyah pantas melarikan tangannya ke
belakang.
“Okey… abang minta
maaf, minta ampun. Abang tak sengaja tadi. Abang bukannya apa… abang cuma risau
tentang kesihatan Sumayyah. Kalau sayang tak makan, abang takut kandungan tu
lemah nanti. Abang nak anak kita dilahirkan dengan sihat.” Fahem cuba
menerangkan situasi sebenar.
Nur Sumayyah memandang
Fahem. “Abang, kalau abang jadi Sumayyah, abang mesti malu tau sebab kena marah
depan mertua! Lagipun, abang tak fikir dulu ke sebelum nak marah? Kalau ya pun
nak menegur, perlukah nak marah Sumayyah depan rezeki… depan orang tua abang…
depan nenek abang? Abang ingat Sumayyah ni tak ada rasa malu ke?” Nur Sumayyah menghamburkan
rasa hati yang terpendam sejak dari tadi.
Fahem terdiam
seketika. “Abang bukannya apa… abang cuma nak jaga kesihatan Sumayyah.” Alasan
tadi juga yang diputarkan.
“Tapi, tak payahlah nak
marah sampai macam tu sekali!” bersama jawapan yang diberi, Nur Sumayyah terus
berbaring dan membelakangkan suaminya. Fahem yang baru sahaja ingin membalas,
terkedu dengan kelakuan isterinya. Dijeling seketika Nur Sumayyah yang sudah
berselubung hingga menutupi kepala. Badannya tiba-tiba merasa panas. Pantas
pandangannya teralih pada penghawa dingin yang bertentangan dengan katil. Fahem
mengorak langkah.
Selepas menekan butang
on pada alat kawalan jauh peghawa
dingin, dia menapak ke balkoni. Memang setiap bilik di rumah neneknya dibina
sekali dengan balkoni. Dia termenung sendirian. YA ALLAH, apa yang aku dah buat
ni?
“KAMI tak tahu kerja siapa semua ni, tuan.”
Ujar Puan Zurita, akauntan di Berkat Travel & Tours Sdn. Bhd. Bos baharunya
itu mengerutkan dahi seketika. Memerhati keadaan sekeliling pejabat.
“Masa saya buka pintu
pejabat pagi tadi, keadaan dah bersepah macam ni. Saya pun terkejut jugak,
tuan. Sebelum ni tak pernah jadi pun benda macam ni.” Zahidah, pembantu
peribadi kepada pemilik lama syarikat pelancongan tersebut. Kini, dia akan
berkhidmat di bawah pemilik baharu pula.
“Tuan nak repot polis
ke?” soal Azrin, si penghantar surat.
Fahem meneliti lagi
keadaan sekitar. Meja terbalik, kerusi dipatahkan, fail-fail habis bertaburan.
Ini adalah dugaan pertamanya untuk memajukan semula syarikat pelancongan
terkenal ini.
“Zahidah, tolong
tanyakan di cawangan lain, ada tak pejabat mereka digeledah?” soal Fahem dengan
pantas. Zahidah pantas melaksanakan arahan tersebut. Fahem bergerak ke pejabat
kakitangan pentadbiran yang berbentuk partition.
Salah sebuah dinding jenis spancheck yang mempunyai kesan tumbukan menarik
perhatiannya. Diteliti kesan tumbukan tersebut. Matanya membulat tatkala
melihat kesan yang terbentuk di situ. Tak habis-habis kau nak cari pasal dengan
aku!
“Tuan, saya dah
telefon semua cawangan kita di seluruh negara. Nampaknya, pejabat mereka tak
ada apa-apa yang terjadi.” Zahidah muncul semula 15 minit kemudian. Fahem
menganggukkan kepalanya. Dia tahu ini kerja siapa. dalam diam, dia sudah
membuat beberapa perancangan rapi.
“Panggil semua masuk
ke bilik mesyuarat.” Arahnya.
Beberapa minit
kemudian, bilik mesyuarat sudah penuh dengan semua kakitangan syarikat
tersebut.
“Assalamualaikum dan
selamat pagi. Sebelum tu sebagai Pengurus Operasi di HQ ni, saya nak minta maaf
banyak-banyak kepada Tuan Fahem Izzuddin kerana terpaksa berhadapan dengan
masalah ini pada hari pertama tuan datang ke sini. Baiklah, tanpa melengahkan
masa, dijemput pemilik baru Berkat Tourism Sdn. Bhd, Tuan Fahem Izzuddin bin
Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin untuk menyampaikan ucapannya.” Spontan Haji
Malek menjadi ‘pengerusi majlis’ dalam mesyuarat tergempar.
“Assalamualaikum dan
selamat sejahtera kepada semua. Saya, Tuan Fahem Izzuddin adalah pemilik baharu
kepada Berkat Travel & Tours Sdn. Bhd. Berdasarkan kepada apa yang Puan
Zurita katakan kepada sya, inilah kali pertama syarikat pelancongan ini
digeledah. Tapi… jangan panik dan terburu-buru. Saya akan membuat laporan
polis. Jadi, kita terpaksa biarkan keadaan pejabat macam ni sebab polis akan
menyiasat.”
No comments:
Post a Comment