REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

REAL MADRID CHAMPION OF UEFA CHAMPION LEAGUE

Tuesday 12 April 2011

WUC 18

WAKE UP CALL 18

SUDAH seminggu Tan Sri Tuan Ahmad Izzuddin dan Puan Sri Sharifah bertolak mengerjakan haji. Mak Kiah terasa sunyi. Biasanya pada waktu pagi-pagi begini, mereka akan sama-sama membersihkan taman bunga mini yang diusahakan oleh mereka bersama. Dia meliarkan pandangannya di garaj kereta. Tan Sri Tuan Ahmad Izzuddin memang seorang yang penjimat. Ada orang kaya yang mengkhususkan sebiji kereta untuk majlis-majlis tertentu saja. Jika ke pejabat, mungkin kereta lain pula. Dia amat kagum dengan sifat Tan Sri dan Puan Sri. Kereta yang ada hanyalah Toyota Altis hitam milik Tan Sri Tuan Ahmad Izzuddin, Volkswagen The Eos biru gelap dan BMW X5 kelabu gelap milik Fahem, Vios milik Fateeha serta sebuah Honda Freed berwarna merun untuk kegunaan sekeluarga apabila bercuti atau ke tempat lain secara bersama. Tan Sri Tuan Ahmad Izzuddin lebih suka menggunakan motor Kriss 110 cc untuk ke masjid atau ke surau.
         Mak Kiah hanya melihat dari jauh kelakuan Fahem dan Fateeha yang saling menyimbah air sabun lebihan setelah mencuci kereta masing-masing. Wanita itu tidak dapat menahan air matanya yang mahu gugur. Dikerdip-kerdipkan kelopak matanya beberapa kali namun ia tetap mahu turun. Akhirnya, dia mengalah. Terdengar gelak tawa Fahem dan Fateeha, mengingatkan dirinya kepada anak-anaknya.
         Sewaktu kecil, ketiga-tiga orang anaknya selalu diberi upah apabila membantu ayah mereka, Razak untuk mencuci motor. Biasanya, dia dan Razak akan pulang pada hari Jumaat petang dan akan kembali ke rumah Tan Sri Tuan Ahmad Izzuddin pada Ahad petang. Mak Kiah amat bersyukur kerana mendapat majikan sebaik Tan Sri Tuan Ahmad Izzuddin dan Puan Sri Sharifah. Kata Puan Sri Sharifah; ‘Sabtu Ahad, anak-anak semua ada di rumah. Biar mereka pula mengemas. Kamu dengan Razak, pulanglah ke rumah mak kamu, jenguk anak-anak kamu.’ Majikannya pernah mencadangkan agar dibawa ketiga-tiga anaknya tinggal di banglo mereka tetapi dia menolak dengan baik. Kebaikan pasangan suami isteri itu membuatkan dia serba salah.
         Fateeha terus menjerit apabila Fahem menyiramnya dengan getah paip air.
         “Abang Fahem ni, jahatlah! Habis dah basah Fateeha tau!” Fateeha memarahi Fahem tetapi lelaki itu mentertawakan adiknya. Melihat situasi itu, hati Mak Kiah makin pilu. YA ALLAH, alangkah bagusnya jika anak aku masih ada lagi sekarang. Namun, aku redha dengan segala ketentuan-MU. Mak Kiah hanya mampu mengadu kepada Yang Maha Esa. Tepukan di paha kirinya membuatkan Mak Kiah tersentak. Pantas ditoleh ke kiri. Fahem menghulurkan senyuman manisnya.
         “Kenapa ni, Mak Kiah? Mak Kiah teringatkan mummy dengan daddy ke?” usik Fahem. Mak Kiah hanya tersenyum hambar.
         “Tak ada apalah, Fahem. Terpandangkan kamu dengan Fateeha, Mak Kiah teringatkan anak-anak Mak Kiah.” Mak Kiah berterus terang.
         “Ohhh.” Fahem mengangguk faham. “Mak Kiah ada berapa orang anak?” soal Fahem.
         “Sebenarnya Mak Kiah ada tiga orang anak. Tapi, anak bongsu Mak Kiah terkorban ketika kampung Mak Kiah dilanda banjir. Masa tu, Mak Kiah ada terfikir jugak. Kalau dia dah mati, Mak Kiah redha. Kuasa TUHAN, siapa yang mampu lawan? Cuma Mak Kiah terkilan sebab pasukan penyelamat tak dapat cari mayat anak Mak Kiah. Pada Mak Kiah, kalau dah jumpa mayat tu, sekurang-kurangnya kita tahu keadaan dia macam mana bila dia dah mati. Dapat jugak kita tatap wajah kesayangan anak kita sebelum dia kembali ke tempat asalnya. Masa tu, memang Mak Kiah harap sangat umur dia panjang. Tapi apakan daya Mak Kiah. Jangankan kata umur...mayat pun langsung tak ada.” Luah Mak Kiah. Air matanya tumpah lagi. Fahem menepuk bahu Mak Kiah, sekadar ingin menenangkan perasaan wanita itu.
        “Apa nama anak Mak Kiah yang bongsu tu?” tanya Fahem
        “Ma... mamak baling mi atas kepala Fahem!” Mak Kiah terus melatah apabila terasa tengkuknya digeletek seseorang. Dia dan Fahem menoleh. Fateeha dan Syazwan Afiq hanya tersengih. Fahem hanya menggelengkan kepala. Fateeha... Fateeha. Nasib baik Mak Kiah tak mati! Hatinya mendengus geram.
        “Hari ni, kita nak masak apa, Mak Kiah?” tanya Fateeha sambil duduk di sebelah Mak Kiah. Syazwan Afiq sudah menarik tangan Fahem untuk ke tepi kolam ikan. Fahem menurut saja.
        “Hmm... kita masak masak lemak udang campur ulam raja. Lepas tu... kita masak sambal goreng.” Mak Kiah memberikan cadangannya.
        “Saya setuju, Mak Kiah.” Sahut Fateeha. Segera mereka masuk ke dalam untuk memasak.

IZZUDDIN SUPPLIER HOLDINGS

“YOU ni, I tengok macam nak larikan diri dari I saja. Kenapa?” tanya Fahem setelah Mazidah meletakkan mug besar yang berisi Nescafe susu. Mazidah hanya menjeling sebelum keluar. Dia malas untuk bersoal jawab dengan lelaki itu.
        Aku cukup pantang kalau orang tak jawab soalan aku! jerit Fahem dalam hati. Dengan pantas, dia bangun dan segera menyambar tangan Mazidah yang memegang tombol pintu untuk keluar.
       “Tolong jawab soalan I sebelum you keluar dari pejabat I!” Fahem memaksa. Mazidah melepaskan keluhan.
       “You nak tahu sesuatu tak? Sejak I tahu pemergian you ke Thailand adalah untuk bersuka ria dengan makwe siam you, I dah malas nak layan you lagi. Dan lagi satu, I nak break dengan you! Cukup-cukuplah you selalu taburkan janji manis you pada I! Punyalah manis you punya janji tu, mengalahkan gula... you tahu!” dengan pantas, Mazidah menolak dada Fahem dan dia segera membuka pintu untuk keluar. Fahem terkedu. Dia melulu keluar untuk mendapatkan Mazidah.
       “Sayang, janganlah macam ni. Okey, just tell me the truth! Kenapa you nak clash dengan I?” soal Fahem. Mazidah yang sedang menaip sesuatu menghentikan kerjanya. Dia menjeling orang nombor dua syarikat itu.
       “I punya sukalah! Lagipun, you kan dah ada makwe baru! Buat apa I nak sibuk-sibuk dengan you? I pun dah malas nak layan you lagi!” Mazidah tetap dengan keputusannya.
       “Please, jangan macam ni sayang. I love you... you love me, right? So, kenapa pulak sampai nak mintak putus ni? Kita kan loving couple. Janganlah macam ni sayang.” Fahem cuba memujuk rayu Mazidah namun wanita itu tetap buat tidak peduli.
       “You nak surat ni sekarang kan?” soal Mazidah sambil menunjukkan sehelai kertas yang mengandungi draf surat rasmi. Fahem segera mengangguk.
       “So, jangan ganggu I. Or else...”
       “Or else, what?” soal Fahem dengan pantas.
       Mazidah merenung wajah Fahem dengan pandangan yang cukup bengis. “You taip sendiri surat ni!” jawab Mazidah dengan muka yang serius.
         
NUR SYUHADAH menarik laci di dalam almarinya. Dia menarik sebuah album gambar. Bila dibuka, terpaparlah gambarnya ketika kecil. Diselak sehelai demi sehelai kabum gambar tersebut. Beberapa aksi lucunya di dalam gambar tersebut membuatkan dia tertawa sendiri. Diselak lagi album tersebut. Tangannya tiba-tiba terhenti pada satu helaian. Difokuskan pandangannya pada gambar tersebut.
       Macam mana gambar dia boleh ada dalam album aku ni? Soal dirinya sendiri. Di dalam gambar itu, dia, Fahem dan beberapa orang pelajar lelaki dan perempuan dari Malaysia bergambar di Kubu
Salahudin Ayubi. Kemudian, gambar di sebelah pula diambil di hadapan sebuah dewan. Ketika itu, Dr. Yusuf Qardhawi sudah selesai berceramah. Fahem dan beberapa orang rakannya mengambil kesempatan yang ada untuk bergambar dengan ulama’ terulung dari Mesir itu.
      Nur Syuhadah terus menyelak lagi. Kali ini, dia dan Fahem sedang berdiri di kiri dan kanan unta. Dia membelai kepala unta manakala Fahem pula membelai lehernya yang panjang. Nur Syuhadah terus cuba mengingati bagaimana dia boleh bergambar dengan Fahem. Semakin cuba diingat, kepalanya semakin sakitnya. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk menelan dua biji Panadol Actifast dan terus tidur.


KOMPLEKS SUKAN BATU BERENDAM

“MAZIDAH mintak break dengan aku.” adu Fahem sambil mengeluarkan raket Yonexnya yang berwarna ungu gelap. Nizam hanya tersengih. Dia juga mengeluarkan raket Yonex berwarna merah.
       “So, apa masalahnya sekarang?” sambil membetulkan tali kasut sukannya, Nizam membalas. Fahem mengeluh.
       “She belong to me!” tegas Fahem. Nizam sudah tergelak besar. Dia meneguk sedikit air suam di dalam botol. Setelah itu, botol itu disimpan semula di dalam beg sukannya. Fahem hanya mendengus geram bila kawan baik sendiri menggelakkannya sebegitu rupa.
       “She belong to you? Kau tahu tak, nak terburai perut aku bila aku dengar kau cakap macam tu! Kau ni memang lelaki yang tamak perempuan, tahu tak? Kau kata dengan aku, kau nak tackle adik kau punya ustazah. So, kalau Mazidah nak break dengan kau, this is the perfect time. Right? Lagipun, aku percaya yang Mazidah tentu takkan ugut kau dengan apa saja. Sebagai contoh, gambar-gambar kau orang ke, video ke, or... anything else. Aku percaya, dia tak seburuk Fiona.” Jelas Nizam dengan panjang lebar.
       Fahem menejling geram. “Kau kata aku lelaki tamak perempuan eh? Kau pun sama dua kali lima macam aku! Tamakkan perempuan!” Fahem mempertahankan diri. Nizam tergelak. Lupa pula yang dia juga se‘paket’ dengan Fahem.  
       Mereka mula bermain badminton. Oleh kerana jadual mereka sebagai ahli perniagaan terlalu padat, mereka hanya dapat bersukan di malam hari saja. Jika ada kelapangan pada hari Sabtu dan Ahad, mereka akan bersama-sama bermain go-kart di Durian Tunggal. Ataupun berjoging bersama-sama di Pantai Klebang pada waktu pagi dan petang.
       Setengah jam bermain, mereka berehat seketika. “Aku ni bukan apa, Zam. Aku takut kalau aku lepaskan dia, orang akan tahu yang aku ni dah tebuk dia. Kau faham tak?” Fahem cuba menerangkan sebaik yang mungkin kepada Nizam. Lelaki itu tergelak lagi.
       “Kau tahu tak... bila kau tak mahu lepaskan dia sedangkan kau dah ada seorang perempuan yang lebih baik dari dia, itu yang akan membuatkan orang lain fikir bahawa kau dah tebuk dia. Dan ketika itu, akan timbullah segala macam jenis fitnah! So, kau nak yang mana? Lepaskan dia atau kau simpan dia sampai orang taburkan fitnah yang bukan-bukan pada kau walaupun ada kemungkinan bahawa fitnah-fitnah tu adalah betul! So, tepuk dada tanya hati!” Nizam menimbulkan kegusaran di dalam hati Fahem dengan hujah panjangnya. Fahem menjongketkan bahunya. Lalu dijeling jam sukannya. Baru 9.30. lantas dia bangu.
       “Jom, lawan balik.” Ajak Fahem. Nizam turut bangun. Mereka main dengan penuh semangat. Bagaikan sedang berlawan untuk memenangai Piala Thomas.
       Satu jam berlawan, akhirnya mereka berhenti. Fahem meneguk air suam yang disimpan di dalam begnya. Matanya meliar melihat kawasan sekeliling. Ada beberapa orang masih lagi berlawan badminton. Kemudian, terdengar pula ada orang terjerit-jerit dari satu arah. Tentu diorang tengah main futsal. Hatinya mengagak.
       10.40 malam. Akhirnya mereka memasukkan semula raket masing-masing ke dalam beg raket. Fahem mengambil sehelai tuala sederhana dan mengelap muka dan kepalanya yang berpeluh.
       “Jadi, apa keputusan kau?” soal Nizam sambil mereka menuju ke petak kereta. Fahem mengangguk-anggukkan kepala.
       “Aku rasa betul jugak cakap kau. Nampaknya, terpaksalah aku lepaskan dia.” Fahem mengeluh. Dia bersandar di pintu keretanya. Nizam pula sedang meletakkan beg dan raketnya di tempat duduk sebelah pemandu. Dia berpaling memandang Fahem setelah semua barangnya dimasukkan.
        “Aku harap kau tetap dengan keputusan kau. Baik kau lepaskan saja dia. Buat apa kau nak simpan dia lama-lama kalau kau sendiri dah ada orang lain? Biarlah dia. Kalau dia gembira dengan kehidupan solo dia, biarkan. Jangan ganggu dia lagi.” Nizam masih tidak putus member nasihat.
        “Aku balik dulu. Assalamualaikum.” Fahem hanya melihat lelaki itu masuk ke dalam kereta Toyota Prius Hybrid kelabu gelap. Tanpa berlengah, dia terus masuk ke dalam Volkswagennya.

“DAH tetap keputusan kau tu?” soal Diyya ketika dia dan Mazidah sama-sama menonton rancangan Cake Boss di Travel and Living Channel (TLC).
        Mazidah mengangguk. “Ada jugak dia telefon aku, nak memujuk merayulah tu agaknya. Tapi aku tak layan.” Jawab Mazidah. Diyya tersenyum senang. Dia bukannya terlalu anti dengan Fahem. Dia cuma tidak mahu kawan baiknya dipersia-siakan oleh Fahem.
        “Baguslah, Mazidah. Kalau kau tak break dengan sekarang, sampai bila kau nak jadi macam ni? Jadi perempuan simpanan dia? Dia akan datang pada kau hanya bila dia nakkan layanan dari kau. Aku tahu, kau berhak dapat lelaki yang lebih baik dari dia.” Ujar Diyya. Mazidah mengangguk. Setuju dengan kata-kata teman serumahnya itu.


“KENAPA tak telefon abang? Boleh abang ambil kau kat sekolah! Buat susahkan Syuhadah saja sebab hantarkan si Zariff ni.” Ujar Fahem setelah Nur Syuhadah dan Zariff menuju ke beranda rumah. Fahem, Fateeha, Pak Razak dan Mak Kiah sedang duduk berehat di situ. Syazwan Afiq pula sibuk mengayuh basikalnya ke sana sini.
        Nur Syuhadah pada mulanya ingin hantar di pintu pagar saja tetapi setelah Zariff mengajaknya berkali-kali, dia terpaksa akur.
        “Duduklah, Kak Syuhadah.” Jemput Fateeha. Mak Kiah terus menuangkan teh o ais ke dalam gelas kosong.
        “Eh, tak usahlah. Lagipun, saya cuma hantar Zariff ni saja.” Nur Syuhadah cuba berdolak-dalik namun Fateeha dan Fahem berkeras menyuruhnya duduk. Mahu tak mahu, dia terpaksa duduk.
       “Zariff tolong apa tadi?” soal Fahem. Adik ketiganya itu tersengih.
       “Kami berbincang, ingat nak buat aktiviti kelas sebelum cuti panjang nanti.” Jawab Zariff. Fahem mengangguk faham.
       “Habis tu, apa aktivitinya?” soal Pak Razak.
       “Itulah kami nak bincang. Tapi hasil dari mesyuarat tadi, kami ingat nak buat lawatan.” Jawab Nur Syuhadah. Fahem menjadi teruja dengan jawapan itu.
       “Lawatan ke mana?” soalnya dengan cepat.
       “Zariff ada bagi cadangan tadi. Zariff nak ke KLCC. Kat dalam tu kan ada Petrosains.” Dengan pantas Zariff memberi jawapan. Fahem mencebik.
       “Macam dah tak ada tempat lain.” Bidas Fahem. Zariff menjeling.
       “Minumlah air tu, ustazah.” Jemput Mak Kiah. Nur Syuhadah hanya mengangguk sambil tersenyum. Fahem memerhatikan jemari yang lembut dan panjang itu menyentuh gelas yang berisi teh o ais. Anak jarinya pula diletakkan di bahagian bawah gelas. Untuk mengesan suhu air di bahagian atas dan bawah adalah sama atau tidak. Jika sama-sama sejuk atau sama-sama panas, selamatlah. Jika di bawahnya panas dan atasnya berlainan, jaga-jagalah. Mungkin ada manusia yang ingin menhantar sihir kepada kita.
       Mereka mula bercerita tentang itu dan ini. Mak Kiah dan Fateeha tidak habis-habis bercerita tentang resepi terbaru yang ditonton di kaca televisyen beberapa hari lepas. Nur Syuhadah pula seperti seronok mendengar resepi itu. Dengan pantas Fateeha naik ke atas dan turun semula sambil membawa sehelai kertas. Dengan pantas Nur Syuhadah menyalin resepi tersebut ke dalam buku nota kecilnya.
       “Fahem dulu belajar di universiti mana?” soal Nur Syuhadah. Hatinya tidak boleh bersabar langsung. Dia hairan. Bagaimana dia boleh bergambar bersama Fahem.
       “Kenapa?” Fahem melambat-lambatkan jawapannya.
       “Tak ada apa. Saja nak tanya.” Nur Syuhadah berdalih. Fahem tersenyum riang. Ambil berat jugak kau pasal aku ya! Detik hatinya.
        “Fahem dulu belajar di Universiti Al-Azhar. Kenapa?” soalnya. Hamper terlepas gelas yang dipegang Nur Syuhadah.
        “Kampus mana?” soalnya lagi.
        “Kaherah.”
        “Ohh. Fahem ambil bidang apa?”
        “Perniagaan.” Nur Syuhadah mengangguk faham.
        “Kenapa?” Fahem mula sangsi dengan Nur Syuhadah.
        “Kita kan kawan. Saja tanya, takkan tak boleh.” Dalihnya. Fahem menganggukkan kepala.
        “Syuhadah dulu belajar kat mana?” soal Fahem pula.
        “Samalah macam Fahem.” Jawab Nur Syuhadah ringkas.
        “Kampus?”
        “Sama jugak.”
        “Kaherah?” Nur Syuhadah mengangguk.
        “Tahun?”
        “Syuhadah tak ingat tapi rasanya dalam tahun... erm... dalam tahun 2004 ke 2005. Macam tulah lebih kurang.” Jawab Nur Syuhadah. Sah! Jerit hati Fahem. Dia memang Nur Sumayyah! Wanita di hadapannya memang juniornya. Memang buah hati yang disayangi sejak sekian lama.
        “Fahem masuk dalam tahun bila?” soal Nur Syuhadah pula.
        “Sekitar tahun 2003.” Jawab Fahem.
        “Tapi Fahem rasa kita macam pernah jumpalah.” Fahem menggunakan psikologi. Dia tahu, buah hatinya ini masih hilang ingatan. Tapi... bukankah Nur Sumayyah sudah mati akibat terkena peluru sesat ejen Mossad? YA ALLAH, tolonglah hamba-MU ini.
        “Entahlah Fahem. Syuhadah tak perasan. Tapi Syuhadah rasa, kita tak pernah jumpa.” Nur Syuhadah ingin melihat reaksi Fahem.
       Fahem mengerutkan dahi. Tak sayang, kita pernah jumpa... pernah berkasih sayang. Cuma kamu saja yang sudah hilang ingatan...