WAKE UP CALL 31
SUDAH hampir sebulan mereka menjadi suami isteri.
Perangai Fahem sudah banyak berubah. Dia sudah tidak keluar malam lagi. Yang
lebih menggembirakan Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin dan Puan Sri Sharifah
ialah Fahem akan mengajak Nur Sumayyah untuk ke masjid pada setiap hari Khamis
dan Ahad.
"Abang, Pah tengok Fahem dah banyak
berubah sejak kahwin. Harapnya biarlah dia berubah untuk selamanya, bukan
berubah masa mula-mula kahwin saja." Puan Sri Sharifah meluahkan rasa
hatinya. Si suami mengangguk setuju.
"Abang pun harap macam tu jugak. Abang
bukannya apa. Jangan mula-mula kahwin saja perangainya elok. Bila dah
lama-lama, buat baik perangai lama dia. Abang tak mahu macam tu. Menantu kita
tu, ustazah. Malulah dia kalau orang tahu laki dia tu pergi kelab malam, buat
benda tak senonoh. Nanti kita jugak yang malu pada besan kita." panjang
lebar Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin menyatakan kebimbangannya.
Fahem yang ketika itu sedang lalu di hadapan
mereka, terus dipanggil oleh dadadynya.
Lantas si anak mendekati kedua orang tuanya
yang duduk di gazebo. Puan Sri Sharifah menuangkan secawan nescafe untuk
anaknya. Setelah mengucapkan terima kasih, Fahem menghirup sedikit air
tersebut.
"Ada apa daddy, mummy?" pasangan
suami isteri yang sudah 30 tahun berkahwin itu saling berpandangan.
"Ada benda sikit daddy nak nasihatkan
kamu. Kamu dah kahwin, daddy dengan mummy rasa bahagia dan gembira sangat.
Setakat ni daddy tengok kamu dah buang perangai lama kamu, alhamdulillah, kami
bersyukur sangat. Tapi, daddy tak mahu perubahan kamu hanya di awal perkahwinan
saja. Kalau boleh, kekalkan sampai hujung nyawa kamu. Kami ni, tak tahu sampai
bila hidup. Entah-entah, malam ni dah tak ada. Jadi sebagai anak sulung,kamu
mesti berikan contoh terbaik untuk adik-adik kamu, dan juga kepada isteri dan
anak-anak kamu nanti." panjang lebar Tan Sri Tuan Ahmad Izzuddin memberi
nasihat kepada anaknya.
Fahem mengangguk faham. Dia akui daddynya tahu
tabiatnya yang suka mengunjungi kelab malam setiap malam. Tetapi nasib baik
orang nombor satu Izzuddin Supplier Holdings itu tidak tahu tentang Mazidah
yang pernah membuntingkan anaknya. Jika daddynya tahu, pasti beberapa saat
selepas mendapat berita tersebut malaikat Izrail sudah mencabut nyawa orang tua
itu.
"Sumayyah mana?" soal Puan Sri
Sharifah. Fahem tersenyum.
"Ada kat atas kejap lagi turunlah."
"Ingat pesan daddy. Jangan buat lagi
perangai lama kamu." Fahem hanya mampu mengangguk.faham.
NUR SUMAYYAH membawa cempedak yang digoreng oleh Mak
Kiah ke gazebo. Air nescafe yang sudah tinggal setengah dibawa ke dapur untuk
dipenuhkan. Tiba di depan, dia menuangkan air untuknya serta memenuhkan cawan
suami serta kedua mertuanya.
"Sekolah macam mana?" soal Puan Sri
Sharifah. Fahem yang sedang mengunyah cempedak menjeling sekilas wajah
isterinya.
"Okey aje mummy. Cuma budak-budak sekolah
zaman sekarang, biasalah, nakal sangat."
"Samalah macam suami kamu Sumayyah. Masa
mula-mula daddy hantar hantar dia ke Sekolah Sultan Muhammad, melalak. Malam
pula bila daddy baru nak tidur, warden dia telefon. Kata dia tak ada dalam
bilik. Rupa-rupanya panjat pagar sebab nak balik. Esoknya daddy ke asrama dia.
Daddy tanya kenapa nak lari dari asrama. Sumayyah tahu dia kata apa? Dia kata
rindu dengan daddy, mummy, takut nak tidur asrama." cerita Tan Sri Tuan
Haji Ahmad Izzuddin. Pecah tawa Nur Sumayyah namun dia mampu mengawal tawanya
agar tidak seperti pontianak.
"Apa daddy ni, cerita dah berapa tahun
pun keluar balik! Saja nak buat Fahem malu depan bini sendiri eh!" balas
Fahem sambil tajam matanya menjeling si ayah. Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin
terus tergelak-gelak mendengar bidasan anaknya.
"Jadi pedoman pada Sumayyah. Dia kan
cikgu, sekurang-kurangnya dia tahulah macam mana nak atasi budak yang nak
lari." terus-terusan Fahem diusik. Si isteri pun, gelak bagai tak ingat
dunia walaupun gelakannya sangat santun.
" Sekolah Zariff tak ada asrama. Takkan
ada budak yang nak lari!"
"Memang tak ada asrama tapi ada jugak
budak yang lari dari sekolah." menggeleng Fahem mendengar usikan
bertubi-tubi dari daddynya. Kalau sekali sudah berperang mulut, lelaki yang
sudah layak mendapat cucu itu tetap tak mahu kalah walaupun dengan anak
sendiri!
FIONA sedang lena di atas katil apabila tiba-tiba
terasa dia dipeluk dari belaakng. Dengan pantas dia berpaling. Mark
tersengih-sengihsambil menayangkan muka yang kononnya handsome. Lantas
Fiona mencebik sambil bangun. Tangan sasa yang masih melekat pada pinggangnya
ditolak ke tepi. Mark mengeluh hampa. Dia sudah berkira-kira untuk mengajak
Fiona 'bergusti'. Malam tadi, angin wanita itu tidak berapa baik.
"Kenapa?" soal Mark dengan
kehairanan. Dia tahu Fiona tahu apa yang diingininya.
"I ingatkan Fahem tadi." Fiona
sebenarnya masih menaruh harapan pada Fahem. Berita perkahwinan lelaki terlebih
laku itu benar-benar membuatkan hatinya membara. Dia tidak menyangka bagaimana
Fahem boleh tersangkut dengan perempuan yang bertutup dari atas hingga bawah
sedangkan dia tahu taste lelaki itu bagaimana.
"Sayang, you masih mengharap pada dia
ke?" soal Mark dengan nada rajuk.
Fiona tersenyum. "Dia lubuk kepada
segala-galanya. Lagipun, dulu dia pernah janji untuk kahwin dengan I. I takkan
lupakan dia begitu saja." ujar Fiona. Dia akui, Fahem sebenarnya lelaki
baik. Cuma perangai hidung belangnya saja membuatkan dia kelihatan jahat dan
nakal. Tetapi jika angin mafia lelaki itu sudah sampai, jangan haraplah dia
akan menjadi romantik dalam sekelip mata. Kecuali jika seseorang wanita itu
pandai menundukkan angin mafianya. Siapa lagi wanita itu jika bukan Mazidah?
Pernah sekali ketika mereka mengunjungi kelab
malam, dia terlalu mabuk hingga sukar untuk berdiri. Walaupun dia menyuruh
Fahem meneguk sama, lelaki itu menggeleng. Sebaliknya, lelaki itu memili coke
sebagai penghilang dahaga. Hingga pada satu tahap, dia hampir-hampir berjaya
membuatkan Fahem meneguk minuman beralkohol itu namun Fahem tetap menolak.
Akhirnya dia memberi opsyen. Sama ada teguk minuman tersebut atau kahwin
dengannya. Fahem telah berjanji akan mengambilnya sebagai isteri dan akan
mengadakan majlis resepsi di hotel lima bintang. Namun lelaki itu meletakkan
syarat agar dia segera berhenti dari meneguk air syaitan itu. Sehingga sekarang
dia masih menunggu janji lelaki itu walaupun Fahem sudah berkahwin dengan orang
lain.
"Bercakap tentang Fahem, I baru teringat
yang I ada benda nak dilakukan pada dia." kenyataan Mark membuatkan Fiona
memandang lama wajah lelaki kacukan itu.
"Benda apa?" soalnya dengan pantas.
Mark hanya mengangkat kening sambil tersenyum penuh makna.
"PUKUL berapa balik nanti?" soal Fahem
ketika Nur Sumayyah membuka pintu kereta. Wanita itu berfikir seketika.
"Dalam pukul 10 ke 11, Sumayyah
pulanglah. Nanti kalau dah nak habis, Sumayyah telefon abang." jawabnya
sambil menoleh seketika jam di tangan. 8.15 pagi. Fahem mengangguk.
Nur Sumayyah mencium tangan suaminya namun
Fahem masih enggan melepaskan tangan Nur Sumayayah. Isterinya menjeling.
"Abang, Sumayyah nak cepat. Janganlah
main-main." Nur Sumayyah mendesak. Spontan bibirnya bercantum lama dengan
bibir si suami. Tanpa disedari, adegan itu ditonton oleh beberapa orang pelajar
lelaki yang kebetulan sedang duduk di ruang legar utama sekolah. Mereka kembali
ke alam nyata tatkala mendengar siulan-siulan nakal pelajar-pelajar di situ.
Pantas Nur Sumayyah menolak dada Fahem dan terus keluar dari kereta.
Fahem hanya tergelak sendiri mengenangkan
peristiwa tadi. Dia cukup terpesona apabila melihat wajah isterinya yang merah
bagai udang bakar apabila malu. Dia tidak peduli jika kumpulan pelajar tadi
melihat kelakukan mereka. Sumayyah... Sumayyah...
DUA minggu sekali, pihak sekolah mengadakan kelas
tambahan untuk pelajar tingkatan tiga dan lima pada hari Sabtu. Kelas tambahan
bermula dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi. Rehat pula pada jam 9.30 pagi
selama 15 minit.
Nur Sumayyah menerangkan serba lengkap bab
Munakahat. Selepas rehat, dia akan mengedarkan ujian uji minda tentang bab ini.
Mengikut kajiannya, kebanyakan pelajar kurang pemahaman tentang bab perkahwinan
ini. Oleh itu untuk kelas tambahan kali ini, dia memberikan penekanan lebih
kepada bab ini.
"Ada apa-apa soalan?" soalnya kepada
semua pelajar setelah tamat memberikan penerangan.
"Ustazah, adegan pagi tadi pun termasuk
dalam bab munakahat jugak ke?" soalan spontan dari Azeri membuatkan
matanya tiba-tiba membulat. Semua mata sudah memandang usatazah mereka. Nur
Sumayyah sudah malu tidak terkata. Dalam hati, dia memyumpah suami sendiri!
"Kenapa pulak awak nak tahu?" Nur
Sumayyah malas memanjangkan cerita. Azeri yang terkenal dengan mulut celopar itu hanya tersengih.
"Okey, sekejap lagi rehat. Lepas rehat,
saya akan berikan awak semua ujian uji minda. Jadi, baca betul-betul. Jangan
tengok buku. Tamat masa yang diberikan, kita akan bincang jawapannya."
pelajar semua mengangguk faham.
NUR SUMAYYAH melepaskan nafas penatnya seketika. Jam
yang tergantung di dinding dijeling sekilas. 3.30 petang. Penat mengajar pagi
tadi masih belum hilang walaupun hanya dua jam. Mana pula suaminya pergi tidak
pulang? Takkanlah membeli rokok berjam-jam lamanya? Ketika dia mahu
membaringkan badannya di atas katil, pintu bilik ditolak. Fahem menutup pintu
sambil menghadiahkan senyuman untuk isteri tersayang.
"Sayang, kita pergi honeymoon, nak
tak?" soal Fahem sambil duduk di birai katil, bersebelahan isterinya.
"Kat mana?" soal Nur Sumayyah. Dia
tidak kisah jika itu akan menggembirakan suaminya.
"Madrid, Sepanyol." jawab Fahem. Nur
Sumayyah membulatkan biji mata.
"Bila?"
"hujung bulan ni. Abang rasa, dua minggu
cukup." Sebenarnya, ada udang di sebalik bihun dia mengajak isterinya
berbulan madu di sana.
"Jauhnya! Dekat lagi tak ada ke? Sumayyah
takut tak sempat nak uruskan kerja-kerja sebelum cuti. Perlu jugak siapkan
bahan pelajaran untuk pelajar-pelajar.”
Fahem tersenyum. "Macam ni, nanti abang confirm
semula tarikh tu esok dengan kawan abang di Madrid. Hari Isnin, Sumayyah
mohon cuti. Lepas tu, siapkanlah bahan pelajar untuk student sayang."
jelas si suami. Nur Sumayyah hanya mengangguk akur.
"MANA kau tahu?" soal Mark kepada rakannya.
Habib hanya tersengih.
"Ini Habiblah! Aku kan banyak sumber! Aku
tahulah." jawabnya dengan tenang. Mulutnya terus disuap dengan nasi goreng
cili padi yang masih panas.
Mark merenung wajah Habib lama-lama. Dia
seperti tidak percaya dengan berita yang baru diterima. Habib yang ingin
menyedut milo aisnya terkaku seketika.
"Yang kau pandang aku macam tu kenapa?
Kau gay ke?" tembakan Habib membuatkan Mark membulatkan matanya.
"Kalau aku gay, Fiona tu apa!" kalau
bercakap dengan Habib, menyakitkan hati saja. Lebih baik dia matikan air
segera. Habib hanya tersengih.
"Kau nak manfaatkan maklumat yang aku
bagi tu?" soal Habib sambil menyambung semula suapan yang terhenti tadi.
Mark mengangguk. Habib tahu, lelaki di hadapannya terlalu berdendam dengan
Fahem.
"Apa sahaja maklumat yang kau bagi
tentang dia, aku akan manfaatkan. Tak kira sama ada berkait dengan aku atau
tak. Aku boleh nampak maklumat ni akan menghancurkan hidup dia. Macam mana dia
hancurkan rangkaian bisnes aku dulu, macam tu jugaklah aku nak hapuskan
dia!" Mark tekad sepenuh jiwanya.
"KAMU tak mahu kahwin ke, Idah?" ketika
kenduri doa selamat kelmarin, Hajah Kasmah ada bertanya kepadanya tentang
Mazidah. Jika anaknya masih belum berpunya, dia ingin merisikkan untuk anaknya
yang berkerja sebagai Kapten di Angkatan Tentera Malaysia. Sekali imbas melihat
Imran Hakimi, Mak Kiah sudah tertarik untuk menjadikan lelaki itu sebagai
menantunya namun dia tidak mahu memaksa anaknya.
Mazidah yang sedang melipat baju hanya
tersenyum. Jauh di sudut hati, cintanya pada insan yang bernama Tuan Fahem
Izzuddin masih masih bernyawa. Masih belum mati walaupun dia sendiri yang
memutuskan perhubungan mereka. Dia akui, walaupun Fahem lelaki berhidung
belang, namun layanan terhadap dirinya amat istimewa.
Jika dilihat dari luaran, orang akan
menganggap bahawa Fahem sanggup memberikan apa sahaja yang diminta oleh
teman-teman wanitanya. Namun hanya dia sahaja yang tahu bagaimana 'kesanggupan'
Fahem itu. Jika tidak kena gaya, lelaki itu tidak akan memberikan apa yang
diminta. Kadangkala dengan selamba Fahem akan menempelak si dia yang ingin
meminta-minta. "Duit aku, suka hati akulah nak bagi ke tak nak. Kau tak ada
hak pun! Kau ingat aku ni pemurah sangat nak bagi kau macam-macam? Ada duit
gaji sendiri kan, gunalah!"
pastinya, wanita yang terkena tembakan bertalu-talu tersebut akan
terkulat-kulat dimarahi oleh teman lelaki sendiri. Mazidah seperti mahu ketawa
sambil mengilai sahaja setiap kali mendengar keluhan Fahem bersama jawapan yang
terlalu klise itu.
"Belum ada jodoh lagilah mak. Ada jodoh
nanti, Insya-ALLAH, Idah kahwinlah." dia tidak mahu keluarganya tahu
tentang nyawa yang pernah hidup di dalam rahimnya suatu ketika dahulu. Di juga
risau jika perlakuan Fahem sebelum pernikahan lelaki itu akan menghasilkan baka
di dalam rahimnya untuk kali kedua.
Di luar, kedengaran bunyi tangga didaki. Tak
lama kemudian, Pak Razak dan Dr.Mizan muncul di muka pintu sambil membawa
sebakul rambutan gula batu.
"Banyaknya abah, Abang Zan!" rambang mata Mazidah melihat
rambutan yang kemerah-merahan di dalam bakul tersebut.
"Bolehlah bawa ke rumah Tan Sri sikit
kejap lagi." Sejak Mazidah kembali dalam hidup mereka, pasangan suami isteri
itu sudah tidak bekerja lagi di rumah Tan Sri Tuan Ahmad Izzuddin. Tetapi itu
tidak bermakna hubungan mereka terputus malahan mereka tetap rapat seperti
saudara-mara.
"Yang mak dengan abah kamu tahu, anak Tan
Sri tu, semuanya hantu buah-buahan. Dapat kalau rambutan gula batu ni, lajulah
diorang makan. Mengalahkan pirana." ujar Mak Kiah. Mazidah hanya
tersenyum. Pernah sekali ketika Fahem demam, dia ada membawa rambutan. Bagaikan
pirana, laju sahaja tangan lelaki itu mengambil satu demi satu rambutan hingga
habis seplastik. Kesudahannya tiga hari kemudian, suara lelaki itu amatlah
serak mengalahkan Bryan Adams.
Mazidah mengeluh. Kenapalah aku ni asyik
teringatkan suami orang je ni! Dia mengutuk dirinya sendiri.
TAMAN BUKIT BERUANG HEIGHTS
“BANYAKNYA lauk, Puan Sri! Siapa yang masak ni?” soal
Mak Kiah. Matanya masih lagi merenung satu demi satu lauk yang dihidangkan di
atas meja.
Puan
Sri Sharifah hanya tersenyum. “Saya masak sikit aje Kak Kiah. Selebihnya
Sumayyah dengan Fateeha yang masak.” Jawab Puan Sri Sharifah.
“Ayam
masak lemak cili api dengan sayur campur ni, Sumayyah yang masak. Sambal kerang
campur suluh keladi dengan sambal belacan, Fateeha yang buat. Nasib baik tak
runtuh rumah ni ditumbuknya sambal belacan dalam batu lesung tu.”
“Apa
daddy cakap macam tu? Malulah Fateeha depan Mak Kiah dengan family dia!”
Tan Sri Tuan Ahmad Izzuddin hanya mengekek ketawa.
“Malu dengan keluarga Mak Kiah ke, atau dengan
Nizam?” makin seronok Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin mengenakan Fateeha. Naik
merah muka anaknya apabila diusik begitu. Sebetulnya, dia ada menjemput
keluarga Tuan Mokhtar tetapi oleh kerana kawannya menghadiri perkahwinan anak
saudara jauh di Pulau Pinang, Nizam hanya menjadi wakil mereka.
Tanpa mereka sedari, mata Fahem tajam merenung
wajah Mazidah. Walaupun mereka masih di bawah satu syarikat, dia sudah jarang
melihat wajah manis itu. Semakin manis dia melihat penampilan Mazidah. Berbaju
kurung moden bersama rambut yang diikat satu.
“Apa pandang-pandang lagi? Marilah makan.”
Ujar Tan Sri Tuan Haji Ahmad Izzuddin.
Fahem membacakan doa. Mereka memulakan santapan dengan dua potong
tembikai. Selepas itu barulah mereka makan nasi.
“TERINGATKAN pakwe ke?” soal Fahem ketika dia melihat
Mazidah keseorangan di tepi kolam ikan koi. Lantas wanita itu menjeling.
“Suka
hatilah I nak teringatkan siapa! Kena minta izin you dulu ke?” sinis Mazidah
menjawab pertanyaan lelaki yang sedang berdiri di sebelahnya.
Pada mulanya Mazidah duduk di situ bersama
kedua-dua kakak iparnya setelah mereka habis menolong di dapur. Tetapi oleh
kerana anak masing-masing mempunyai kerenah yang pelbagai, Siti Hajar dan
Marissa terpaksa mengawal mereka.
“Tak perlu minta izin sebab I takkan benarkan
you fikirkan lelaki lain selain I seorang. I rasa, I memang ditakdirkan untuk
hidup dengan you. Siapa tahu satu hari
nanti kita ditakdirkan akan berkahwin.” Tanpa rasa bersalah, Fahem menuturkan
kata-katanya.
“Habis, mana you nak campak ustazah kesayangan
you tu? I tak harap langsung dapat jadi isteri you sebab I tahu you bukan untuk
I. Tapi, tolong janji dengan I, you jaga isteri you betul-betul. Jangan buat
lagi perangai tak senonoh you!” Fahem tergelak sinis mendengar kata-kata
Mazidah.
“Sayang jugak you dengan I.”
“Abang.” Baru saja Mazidah ingin membalas
kata-kata lelaki tak guna itu, Fahem telah dipanggil oleh isterinya.
“Kenapa sayang?” soal Fahem apabila Nur
Sumayyah sudah mendekatinya.
“Ni, ada orang missed call abang. Banyak kali. Tak sempat Sumayyah nak jawabkan
tadi.” Lalu diserahkan teefon bimbit suaminya.
Fahem
menelefon semula nombor yang tidak dijawab tadi. Nur Sumayyah duduk di
sebelah Mazidah.
“Memang suka tengok ikan ke? Dari tadi saya
tengok leka betul akak tengok ikan koi tu semua.” Nur Sumayyah memulakan
perbualan. Mazidah tersenyum.
“Memang suka tengok ikan. Umur Sumayyah
berapa, siap panggil saya ni akak.”
“Umur saya 26 tahun. Saya agak saja umur akak
lebih tua dari saya. Sebab saya tengok muka akak ni matang.” Jawab Nur
Sumayyah. Mazidah tergelak kecil. Mereka mula berbual tentang hal perempuan.
Dunia, fesyen, masakan, dekorasi rumah, rumah impian dan artis menjadi topik
utama mereka.
Dalam diam, Mazidah mengakui, dia senang
berbual dengan Nur Sumayyah. Perwatakannya elok, sesuai sungguh dengan
identitinya sebagai ustazah. Tetapi yang paling tidak tahan, cara dia bergosip
tentang artis lagaknya bagaikan seorang wartawan hiburan pula. Terlupa seketika
dengan gelaran ustazah!
Tanpa mereka sedari, diri mereka berdua
direnung oleh sepasang mata yang tajam menikam. Dalam dirinya, dia mengakui dia
begitu menyayangi kedua-dua wanita itu. Jika ditakdirkan dia beristeri dua, dia
akan mengambil wanita berbaju kurung moden itu sebagai seorang lagi peneman
hidupnya.
HARDROCK CAFÉ BUKIT
BINTANG,
KUALA LUMPUR
BEBERAPA siri pertemuan telah diadakan. Namun, jalan
penyelesaian masih belum ada. Mereka mempunyai misi dan matlamat yang sama.
Namun, cara misi itu dijalankan membuatkan pertemuan yang sepatutnya memakan
masa hanya sejam menjadi berjam-jam lamanya.
Datuk
Amidun menggelengkan kepala. Dia tidak mahu lelaki itu dimusnahkan. Walaupun dia
diusir keluar, tetapi lelaki itu telah
banyak menabur budi dan bakti kepadanya sekeluarga. Ketika krisis kegawatan
ekonomi pada tahun 1998, orang tua itulah yang telah mendahulukan duitnya untuk
membayar yuran kemasukan anak sulungnya di Universiti Harvard, Amerika
Syarikat. Apabila dia ingin membayar semula, lelaki itu menolak. Apabila
anaknya belajar rajin-rajin dan mendapat kerja yang bagus setaraf dengan apa
yang dipelajarinya, dia akan menganggap itu adalah bayaran balik duit yang
telah didahulukan. Sewaktu isterinya keguguran ketika mengandung kali kedua,
lelaki itu dan isterinya telah membantu menguruskan pengebumian anaknya. Hendak
mengharapkan dia, dalam keadaan yang bercelaru dan sekejap-sekejap pengsan,
sampai tahun depan pun anaknya takkan dikebumi.
“Habis, Datuk nak buat macam mana?” soal
lelaki di hadapannya. Wanita yang duduk di sebelah lelaki itu sudah menunjukkan
muka bosan. Barangkali bosan dengan perbincangan yang masih tiada jalan
penyelesaian.
“Kau dengar sini. Aku yang upah kau orang
berdua. Aku tak nak dia diapa-apakan. Aku cuma nak jantan celaka tu jadi
mangsa. Orang tua tu, kau jangan kacau! Kalau aku tahu kau kacau, aku sendiri
yang akan bocorkan maklumat ni pada polis!” ugut Datuk Amidun.
Pasangan di hadapannya saling berpandangan.
Mereka tersenyum sinis seketika.
‘”Datuk jangan lupa, Datuk sendiri ada lakukan
jenayah yang kami tahu. Kalau Datuk buat hal pada polis, kitaorang pun takkan
teragak-agak akan buat repot polis tentang jenayah dan bisnes Datuk. Jadi, Datuk jangan
pandai-pandai nak nak beritahu polis apa-apa. Kitaorang pun ada misi jugak pada
jantan celaka tu. Datuk tak payah risau. Tahulah kitaorang nak buat macam
mana.” Lelaki bermuka bengis itu memberi jaminan.
“Okay, I’ll
keep your word! Kalau gagal, kita dah ada pelan B. Ingat lagi kan pelan B
kita?” Pasangan di hadapannya mengangguk sekali.
“Itu, Datuk jangan risau. Apa-apa hal, kami
akan hubungi Datuk.” Lelaki itu memberikan harapan. Pasnagan itu segera beredar
namun Datuk Amidun masih lagi di situ. Termenung seketika sambil menikmati
kopinya yang masih panas.
LAPANGAN TERBANG MADRID-BARAJAS,
MADRID, SEPANYOL
PENANTIAN Fahem dan Nur Sumayyah yang baru 15 minit
turun dari Qatar Airways tidak lama apabila Fahem dapat menangkap kelibat
Azhari dan isterinya dari jauh.
“Assalamualaikum.”
Sapa dua orang sahabat itu sambil berpelukan. Nur Sumayyah bersalaman dengan si
isteri yang memperkenalkan namanya sebagai Siti Aishah.
“Apa khabar, kawan? Sejak-sejak dah
kahwin, makin ceria aku tengok kau.” Usik Azhari. Fahem hanya tersengih.
“Sumayyah, abang nak
kenalkan. Ni Azhari. Kawan masa kecil abang di kampung nenek.” Fahem
memperkenalkan. Nur Sumayyah memberikan senyuman sebagaisalam perkenalan.
“Jom ke kereta aku.
Hari pun dah nak tengah hari.” Ajak Azhari sambil menolak troli di sebelah
Fahem.
“BERAPA lama kau bercuti ni?” Tanya Azhari
sambil memandu. Sesekali matanya menjeling sekilas di cermin pandang belakang.
Sekali imbas, dia melihat Fahem begitu bahagia dengan perkahwinannya. Sebagai
rakan, dia mendoakan agar perkahwinan Fahem dengan seorang ustazah akan
mengubah perangai tidak eloknya selama ini.
“Dua minggu aku cuti.
Saja nak cuti lama-lama. Lagipun, rasanya dah lama aku tak bercuti. Asyik kerja
aje, bosan betul.” Jawab Fahem. Nur Sumayyah leka memerhatikan pemandangan di
luar jalan.
“Kau dah berapa tahun
duduk sini, Ari?” soalnya
“Dah tiga tahun.”
Mereka berbual seketika tentang pekerjaan Azhari sebelum Fahem terlelap.
Perjalanan selama tiga jam tiga puluh minit itu dirasakan terlalu panjang. Sesekali
Fahem terjaga serentak dengan Nur Sumayyah. Tatkala mata mereka bertemu, Fahem
memberikan senyuman untuk isteri tersayang. Kemudian, mereka terlena semula.
Perjalanan sejauh 362.1 km itu membuatkan pasangan suami isteri yang ingin
berbulan madu itu benar-benar letih. Mereka terjaga semula tatkala Azhari
berkata sesuatu dengan Siti Aishah sambil si isteri menunjukkan jarinya ke satu
arah.
“Fahem, kita dah
sampai ke hotel yang kau suruh aku tempahkan. Jadi, jom.” Mereka berempat
keluar dari kereta sambil terus membawa keluar bagasi-bagasi milik pasangan
pengantin baru itu. Fahem dan Nur Sumayyah duduk di sebuah sofa yang terdapat
di lobi sementara Azhari dan isterinya menguruskan penginapan mereka. 10 minit
berlalu, akhirnya kunci bilik betukar tangan.
“Jadi, kau orang
rehat-rehat dulu. Malam ni nak kemana-mana tak?” soal Azhari.
“Aishah rasa, biar
mereka rehat dulu, bang. Esok baru jalan-jalan.” Siti Aishah mengutarakan
pendapatnya. Azhari mengangguk setuju.
“Makan malam, kau nak
aku bawa kau ke satu tempat tak? Sekali kau rasa, mesti nak datang lagi!” ajak
Azhari. Fahem memandang Nur Sumayyah yang masih duduk di sofa untuk mendapatkan
jawapan.
“Sumayyah tak kisah.
Ikut suka abanglah.” Nur Sumayyah memberi kata putus. Fahem memandang Azhari
dan tersenyum senang.
“Bolehlah kita keluar
malam ni. Sambil, makan, sambil berjalan.” Fahem memberi keputusan muktamad.
“BILA rancangan kita
boleh siap?” soalnya. Pihak di sebelah sana menyepikan diri dalam beberapa saat
sebelum memberi jawapan kepada orang atasannya.
“Saya tak boleh janji
dalam masa terdekat ni. Tapi, dalam dua bulan, bolehlah.” Jawabnya.
“Bodoh! Aku suruh kau
siapkan tugasan tu cepat! Orang atasan mula dah bising pada aku! Kalau kau tak
siapkan kerja kau dalam masa minggu ni, diorang akan lucutkan jawatan aku. Kau
faham tak?!” sakit hatinya dengan orang bawahannya yang masih belum
melaksanakan tugas mudah itu. Sudah beberapa kali dia memberi amaran, namun
tetap tidak jalan.
“Bukan macam tu, bos.
Lagipun, dia tak ada kat sini sekarang. Susahlah saya nak siapkan kerja-kerja
saya.” Si anak buah terus memberi alas an.
Tut… tut… tut. Si anak
buah melepaskan nafas berat. Susah betul bercakap dengan orang macam ni.
Bentaknya dalam hati.
VALENCIA, SEPANYOL
FAHEM membantingkan
dirinya di atas katil. Kekenyangan dengan hidangan nasi Arab dalam kuantiti
yang banyak benar-benar membuatkan dia terasa ingin terus tidur sehari semalam.
Dilihat Nur Sumayyah sedang merehatkan diri di sofa sambil menonton televisyen.
Entah isterinya itu faham atau tidak bahasa Sepanyol yang menjadi bahasa rasmi
drama tersebut.
“Sayang, marilah
baring sebelah abang. Sayang tak penat ke? Siap boleh tengok tv lagi.” Ajak
Fahem dengan mata yang semakin mengantuk. Nur Sumayyah menoleh melihat suaminya
di atas katil.
Langkah diatur. Dia
menutup televisyen dan terus berbaring di sebelah suaminya yang sudah terlelap.
Dia mengambil peluang ini untuk melihat wajah Fahem di segenap inci. Wajahnya
memang kacak. Sungguh putih bersih. Apabila suaminya menyisir rapi rambutnya
untuk ke pejabat, dia dapat melihat Li Lianjie dalam filem War yang turut dibintangi Jason Statham. Tatkala bangun dari tidur,
rambut serabai suaminya yang jatuh ke dahi akan-akan watak Danny dalam filem Unleashed. Tetapi dia lebih suka rambut
Fahem seperti ‘kembarnya’ dalam filem Romeo
Must Die. Stail rambut yang sedikit terjurai di dahi menampakkan Fahem
seorang lelaki yang sungguh budiman tetapi tegas dengan pendirian sendiri. Jika
Jet Li adalah pakar dalam bidang wushu sejak kecil, ‘kembar tidak sama
tahunnya’ lebih suka mempraktikkan langkah-langkah Silat Gayong serta beberapa
silat lain setiap pagi sebelum mandi. Entah kenapa setiap kali suaminya membuka
langkah silat, setiap kali itulah dia melihat Fahem sebagai lelaki paling hot di dunia.
Jika orang yang baru
mengenali empunya badan yang bernama Tuan Fahem Izzzuddin ini, pasti mereka
akan menyangka dia adalah Jet Li. Dengan wajahnya yang putih, ketinggian dan
ketegapan yang sama, dan yang paling utama, Fahem boleh bertutur di dalam Bahasa Cina. Kata
Fahem, neneknya yang mengajarnya.
“Kenapa sayang tenung
muka abang?” sergah Fahem. Nur Sumayyah hampir saja terjatuh dari katil.
“Abang ni, suka buat terkejut Sumayyah. Lain kali,
bagilah salam dulu.” Marahnya dengan manja sambil menampar lembut pipi
suaminya.
“Sayang tak jawab lagi soalan abang.” Fahem masih
menagih jawapan. Nur Sumayyah tersenyum simpul.
“Saja nak perhati muka abang lama-lama. Sumayyah nak
tengok, tang mana yang hensem sangat kat muka abang sampai berderet makwe
abang.”
Fahem hanya membiarkan teka-teki Nur Sumayyah. Tang
mana yang perempuan selalu melekat pada dirinya, biarlah menjadi rahsia dia
seorang.
“Dah dapat jawapan ke belum, tang mana?”
“Belum. Mungkin, lesung pipit abang.”
Fahem menggelengkan kepala.
“Stail rambut abang kot.” Si isteri terus meneka.
“Bibir tu memang nak kena gigit agaknya. Itu rambut. Sekarang,
sayang cari kat muka!” Nur Sumyyah mencebik, konon-konon sedih kena marah
dengan suami.
“Okey, surrender!
Abang bagi tahu ajelah!”
“Sayang nak tahu?” Fahem terus berteka-teki.
“Nak tahu sangat kat mana.” Si isteri makin mendesak.
“Muka yang serius.” Fahem memberikan jawapan.
“Apa? Muka yang serius? Tak percayalah Sumayyah!” si
isteri menggeleng-geleng, tidak percaya.
“Sayang tahu tak, abang pernah buat kaji selidik pada
beberapa orang makwe abang. Abang tanya, tang mana kat muka abang ni yang diorang
terpikat? Jawapan mereka… muka yang serius.”
Nur Sumayyah melepaskan nafas kecewa. Beria-ia dia
mencari, itu saja jawapannya? Yalah, mafialah katakan!
“Dahlah sayang. Jom tidur. Esok nak bangun awal,
banyak program kita.” Nur Sumayyah akur dengan arahan suami. Dia pun sudah
tidak sabar untuk berjalan esok pagi.
“MACAM mana tidur malam tadi? Nyenyak?” soal Azhari
sambil menunggu sarapan mereka. Muka Nur Sumayyah menahan malu. Dia tahu Azhari
tidak bermaksud selebihnya, apatah lagi itu bukanlah malam pertama mereka.
“Yalah, berubah tempat
tidur. Tidur kat tempat orang, mesti susah nak lelapkan mata, betul tak?” Siti
Aishah membetulkan soalannya. Dia dapat melihat wajah Nur Sumayyah yang menahan
malu.
“Aku biasa aje, Ari. Asalkan
mengantuk, laju aje aku lelap mata.” Jawab Fahem.
“Saya pun macam tu jugak
Aishah. Adalah terkebil-kebil dalam lima minit. Betullah cakap Fahem. Mengantuk
aje, laju saya lelap mata.” Pasangan suami isteri di hadapan mereka tergelak
perlahan. Sarapan mereka sudah sampai.
Tiga cawan café con leche dan secawan coklat panas sudah
dihidangkan kepada mereka. Kemudian, pelayan tadi datang dan membawa sepinggan churros dan torrijas. Azhari dan Siti Aishah lebih senang bersarapan dengan bollos, sejenis
roti gulungan dengan jem, juga roti bakar besama keju lembut.
Mereka mula menikmati
sarapan setelah masing-masing membaca bismillah. Kadang-kala turut dikenali
sebagai donut Sepanyol, churros sungguh popular di Sepanyol, Perancis,
Filipina, Portugal, Amerika Latin dan Amerika Syarikat. Biasanya mereka akan
mencecah churros ke dalam coklat
panas atau café con leche. Fahem menggigit sedikit churros, dan menyuakan kepada si isteri sekadar untuk dirasai. Nur
Sumayyah mencuit sedikit torrijas. Si
isteri turut menyuakan torrijas kepada
si suami. Bukannya mereka selalu ke Sepanyol. Jadi, tidak salah untuk mencuba
segala makanan di sini selagi halal.
TIDAK banyak tempat yang boleh dilawati oleh mereka
kerana kesuntukan masa namun Nur Sumayyah dan Fahem sungguh teruja. Valencia
adalah bandar raya ketiga terbesar di Sepanyol selepas Madrid dan Barcelona.
Antara tempat yang dibawa
oleh Azhari adalah The Museu de Belles
Arts de Valencia atau dalam Bahasa
Inggerisnya Museum of Fine Arts of
Valencia. Galeri seni ini diasaskan pada tahun 1913. Ia menempatkan
kira-kira 2,000 hasil kerja, kebanyakannya dari kurun ke 14 -17. Antaranya
termasuklah Self portrait oleh Diego
Velazquez, St. John the Baptist lukisan El Greco, Playing Children hasil seni Goya, Altarpiece
of Sts. Ursula, Martin and Antony dilukis oleh Gonzalo Perez, dan Madonna with Writing Child and Bishop hasil
tangan Pinturicchio. Galeri ini juga menempatkan banyak hasil ukiran Giovan
Battista Piranesi. Muzium ini turut menempatkan arca, seni kontemporari dan
barangan arkeologi.
Dengan perjalanan sejauh
22.3km yang mengambil masa 24 minit, akhirnya mereka tiba di City of Arts and Sciences, sebuah
destinasi pelancongan moden paling
penting di bandaraya Valencia. Direka bentuk oleh Santiago Calatrava dan Félix
Candela, projek pembinaannya menjalani peringkat pertama pada Julai 1996 dan
‘bandar raya’ ini telah dirasmikan pada 16 April 1998 dengan pembukaan L’Hemisferic. Komponen besar terakhir City of Arts and Sciences, El Palau de led Arts Reina Sofia, telah
dipersembahkan pada 9 Oktober 2005 pada Valencian
Community Day.
Kompleks ini terdiri
daripada beberapa bangunan. L’ Hemisferic
– bangunan ini menyerupai ‘mata gergasi’ dan mempunyai permukaan kira-kira 13
000 meter persegi. El Museu de les Ciencies Principe Felipe adalah sebuah
muzium interaktif yang menyerupai rangka seekor ikan paus. L’Umbracle, jalan berlanskap
yang penuh dengan spesies tumbuhan asli Valencia seperti rockrose, lentisca, romero, lavender, honeysuckle,bunga kertas dan
pokok palma. Di sini, pasangan Fahem dan Nur Sumayyah mengambil gambar dengan
pelbagai gaya. Gaya romantik, lawak, kandid dan macam-macam lagi. Azhari dan
isterinya juga turut mengambil gambar di tempat-tempat yang dirasakan cantik
dan menarik.
L’Oceanografic merupakan sebuah taman oseanografi bersifat open-air. Ini adalah akuarium
oseanografi terbesar di Eropah dengan 110 000 meter persegi dan 42 juta liter
air. Ia dibina dalam bentuk teratai hasil tangan arkitek Felix Candela. setiap
bangunan mewakili persekitaran akuatik berbeza termasuklahMediterranean,
Wetlands, Temperate and Tropical Seas, Oceans, Antarctic, Arctic, Island dan
Ted Sea.
El Palau de les Arts Reina Sofia merupakan sebuah panggung
opera dan pusat seni pentas. Ia terdiri daripada empat ruang besar iaitu Main Room, Magisterial Classroom,
Amphitheater dan Theater of Camera.
Panggung opera ini telah menganjurkan banyak acara antaranya opera, teater dan
muzik di auditoriumnya. El Pont de
l’Assut de l’Or adalah sebuah jambatan gantung yang menghubungkan bahagian
selatan dengan Minorca Street. L’ Agora,
adalah sebuah plaza bertutup di mana konsert dan acara sukan diadakan. Ia
adalah sebuah ruang yang direka untuk mengadakan pelbaagai jenis acara seperti
konsert, pertunjukan, pameran, konvensyen, persidangan kongres, dan mesyuarat
sukan antarabangsa. Antara acaranya adalah Freestyle
burn Spanish Cup 2010 dan Christmas
Special Programme. Terakhir sekali, Torres
de Valencia – membentuk sebahagian dari sebuah projek pembinaan tiga
pencakar langit dengan ketinggian 308, 266 dan 220 meter. Tetapi projek ini
masih tertangguh dan ini meragukan orang ramai.
HARI yang Fahem nantikan sudah tiba. Mereka berempat
duduk sebaris. Nur Sumayyah memandang wajah suaminya dengan curiga.
“Adakah ini salah satu
daripada rancangan honeymoon kita?”
soal Nur Sumayyah dengan wajah yang serius. Fahem menahan tawa dalam hati. Dia
tahu, jika ayat isterinya terlalu formal seperti ditemuduga, jawabnya memang
ustazah muda itu sedang dalam kemarahan.
“Err… kebetulan. Sama dengan
kedatangan kita ke sini.” Fahem melemparkan wajahnya di tengah padang. Nur
Sumayyah melepaskan nafas keras. Dia tahu itu bukan jawapan sebenar. Dia tahu
sejauh mana obsesnya Fahem Izzuddin dengan Real Madrid. Jadi, sudah pasti
lelaki itu menyemak jadual pasukan kesayangannya di internet.
“Sumayyah tahu tu bukan
jawapan sebenar! Oh, patutlah abang beria sangat nak ke Sepanyol sekarang? Tak
mahu tunggu bulan enam, budak cuti sekolah?” Nur Sumayyah memuntahkan pelurunya
namun dengan nada perlahan.
Fahem hanya mampu
mempamerkan senyuman yang makin menyakitkan hati si isteri. Pandangan matanya
terus dihalakan ke sekeliling Estadio Mestalla,
playground untuk kelab
Valencia.
Sorakan para penonton
membuatkan mata pasangan suami isteri itu teralih ke tengah padang. Selepas
saja pengadil meniupkan wisel, perlawanan bermula. Kedua-dua pasukan, baik Real
Madrid atau Barcelona bertungkus-lumus untuk menjaringkan gol.
Jatuh, bangun, terlepas gol,
bercakaran, tertendang, terhantuk, terguna tangan, dia tolak dia, semuanya
adalah perkara biasa dalam perlawanan bola sepak. Sesekali permainan berhenti
seketika. Kedengaran wisel pengadil ditiup beberapa kali. Beberapa keping kad
kuning dilayangkan.
90 minit sudah berlalu
sedangkan kedua-dua pasukan masih lagi terikat tanpa jaringan. Akhirnya
Cristiano Ronaldo menjaringkan gol untuk Real Madrid pada minit ke 103 selepas
masa tambahan. Kedengaran sorakan-sorakan gembira dari penyokong Real Madrid.
Nur Sumayyah turut teruja. Dia bukanlah peminat tegar bola sepak, tetapi dia
tahu Real Madrid dan Barcelona adalah musuh tradisi. Yang selalu Fahem cerita
padanya, pertembungan El Classico selalunya
sengit.
“PUAS hati kau?” soal Azhari kepada Fahem yang hampir
saja terlelap di belakang.
“Apa
pulak tak puas? Dapat bergambar dengan Cristiano Ronaldo, Mesut Ozil, oklah tu.
Kau jangan cemburu aku siap bergambar dengan diorang punya trofi sekali tahu! Jangan
nanti kau nak tiru pula gaya honeymoon aku ni. Konon-konon nak pergi Old Trafford time Manchester lawan. Kalau aku tahu
kau tiru cara aku, siap kau. Aku sesah-sesah kau dengan pelepah kelapa bila
balik kampung nanti.” Jawab Fahem dengan panjang lebar walaupun soalan Azhari
amat pendek.
Azhari
dan isterinya tergelak. Nur Sumayyah tersenyum simpul. Entah apa-apa laki aku
ni!
HOLIDAY INN MADRID,
MADRID
SUDAH banyak tempat yang dilawati oleh mereka
di Valencia. Kini mereka bercadang untuk menghabiskan cuti yang masih berbaki
lima hari lagi di Madrid pula. Namun malam tadi mereka sempat ke Stadium
Santiago Bernabeu, stadium yang dimiliki oleh kelab bolasepak terkaya dunia,
Real Madrid. Sempat juga Fahem mengambil gambar di bahagian depan stadium
dengan berlatarbelakangkan crest Real
Madrid. Kemudian, dia bergambar berdua dengan Nur Sumayyah. Akhir sekali,
mereka bergambar berempat.
Pagi itu, Fahem dan
Nur Sumayyah sudah bersiap-siap untuk melawat sekitar Madrid pula. Ketika Fahem
menyisir rapi rambutnya, teleon bimbitnya berbunyi. Lantas dia melihat seketika
nama si pemanggil. Rumah?
“Fahem, sayang bila
balik, nak?” soal Puan Sri Shairfah dengan cemas setelah memberi salam.
“Kenapa mummy?” soal
Fahem. Nur Sumayyah yang masih mengemaskan pemakaian tudungnya dijeling
seketika.
“Fahem balik cepat
sikit nak. Nek Kiah kamu jatuh bilik air. Dah dua hari kat hospital. Daddy kamu
dah tak tentu arah. Nak buat kerja pun, rasa hati asyik tak senang aje. Fahem
balik ye nak, tolong uruskan pejabat.” Pinta si ibu.
“Oh, macam tu. Oklah
mummy. Fahem cuba cari flight seawal
mungkin.” Tamat saja perbualan, dia segera memanggil isterinya sambil jarinya
laju mencari nombor Azhari di dalam telefon.
“Ada apa, bang?” soal
Nur Sumayyah.
“Sayang kemas semua
barang siap-siap. Kita balik Malaysia hari ni juga. Nenek jatuh dalam bilik
air. Daddy jaga nenek kat hospital. Jadi, tak ada orang nak jaga pejabat.
Fateeha dekat US, kawan-kawan dia buat majlis reunion. Lepas tu, dia ada seminar barang binaan di Texas.” Terus
saja Fahem bercerita tanpa ditanya dahulu oleh si isteri.
assalamualaikum...saya menunggu sambungan cerita ini.walaupun ada beberapa cerita yang saya baca di dalam penulisan2u seolah melompat2 saya masih terus membaca.sehingga terjumpa laman ini.mungkin agak terlewat sebab saya baru baca bermula semalam saya harap sambungan akan jadi lebih menarik.semoga writer di lindungi ALLAH.
ReplyDeletetq sebab sudi bace novel sy.... klu nk baca lagi smbungannya, di sini sajalah. ini sajalah blog penulis... terima kasih skali lagi...
ReplyDeleteterima kasih... lpas n klu nk baca, just lawat sj blog sy ni... terima kasih utk oa tu, nisa. ayu...
ReplyDelete