WAKE UP CALL 36
IZZUDDIN SUPPLIER HOLDINGS
MAZIDAH mengerutkan wajahnya. Ditolehkan kepalanya ke kiri dan kanan.
Tiada siapa yang boleh ditanya tentang kegusaran hatinya. Siapa yang bagi ni? Hatinya
terus tertanya-tanya. Dia mengambil kembali sejambak bunga yang baru sahaja
diletakkan tadi.
“Wah, kau dapat bunga,
Idah. Siapa yang bagi?” soal Wardina, salah seorang kerani di Jabatan Kewangan.
Mazidah menjongketkan bahunya.
“Itulah yang aku tengah
fikirkan ni.” jawab Mazidah. Wardina mengangkat-angkat keningnya.
“Encik Ikmal kot. Mana
tahu, mungkin dia nak minta maaf pada kau. Semalam kan, dia marah kau.” Duga
Wardina. Satu Jabatan Kewangan sudah tahu tentang hubungan antara Ikmal dan
Mazidah. Ikmal sudah mengakuinya, namun Mazidah hanya menganggap itu adalah
gosip biasa. Dia langsung tiada hati dengan bos baharunya itu, cuma menganggap
Ikmal sebagai teman rapat sahaja.
“Takkan tak ada apa-apa
kad kot?” soal Wardina.
“Ha ah kan… aku tak
terfikir pulak tadi.” Sekali lagi, dia menelek tiga kuntum bunga ros merah itu.
Tatkala itu, dia ternampak sebatang kad yang terselit di antara batang-batang
bunga tersebut. Ditariknya kad berwarna biru muda itu.
“Tu ada kad, cuba
tengok kot dia ada tulis siapa namanya,”
Wardina turut teruja untuk mengetahui siapa penghantar kad tersebut.
Until
the day the ocean
Doesn’t
touch the sand
Now
and forever
I
will be your man
Menggeletar rasa lutut
Mazidah tatkala membaca kad tersebut. Biarpun tiada nama, dia tahu siapa yang
mengirimkan bunga dan kad itu. Dia tahu lelaki itu memang sukakakan lagu
Richard Marx yang satu ini.
“Siapa yang…” belum
sempat Wardina menghabiskan soalannya, Ikmal sudah memanggil Mazidah.
“Okeylah, tengah hari
nanti aku nak sambung siasat kau pasal bunga ni tau. Bye!” Wardina melangkah ke mejanya, meninggalkan Mazidah yang masih
termangu-mangu. Tanpa disedari, dirinya diperhatikan oleh Ikmal yang berada di
dalam bilik.
Sekali lagi interkom di
atas mejanya berbunyi.
“Apa yang awak tunggu
lagi? Saya nak jumpa awak sekarang!” suara Ikmal yang keluar dari interkom
membuatkan Mazidah lekas-lekas mengambil buku dan pen sebelum masuk ke dalam
pejabat lelaki itu.
“SAYANG, do you okay?” soal
Ikmal setelah Mazidah menyatakan agendanya untuk hari ini. Tatkala sampai di
pejabat tadi, Ikmal benar-benar terkejut apabila melihat sejambak bunga ros
merah yang elok terletak di atas meja. Sehingga kini dia masih tiada idea siapa
yang memberikan bunga itu kepada wanita yang sudah lama bertakhta di hatinya.
“How many time should I told to you? Don’t call me sayang! And for your
further information, I’m fine just now!” jawab Mazidah namun dengan nada
yang masih boleh dikawal.
Ikmal bangun dan
mendekati setiausahanya. Dia memegang erat bahu Mazidah namun kuat tangan
wanita itu menepis.
“Kalau tak ada apa-apa
lagi Encik Ikmal, saya keluar dulu.” Pantas Mazidah menapak ke arah pintu namun
Ikmal sempat menarik lengannya.
“Siapa yang hantar
bunga pada you tadi?” soal Ikmal, sedikit cemburu.
“Apa pasal pulak you
sibuk nak tahu siapa yang hantar bunga pada I?”
“Because you are my future wife!” nada Ikmal sedikit naik.
Mazidah tergelak sinis.
“Bila masa pulak I setuju nak jadi isteri you? I rasa I tak pernah cakap
apa-apa tentang benda ni dengan you. Jadi, jangan nak perasan!” kuat Mazidah
menarik tangannya dan terus keluar dari pejabat bosnya.
Ikmal terkaku seketika.
Dalam diam, dia tahu siapa yang menghantar bunga itu kepada ‘bakal isterinya’.
Dia mula terfikir untuk memberi kata dua kepada lelaki tersebut.
KEADAAN sunyi sepi seketika. Masing-masing leka menikmati hidangan. Nur
Sumayyah menambah lagi nasi ke dalam pinggan Fahem apabila suaminya
menghulurkan pinggan kepadanya. Lauk asam pedas ikan sepat masin dan sawi
goreng membuatkan dia benar-benar berselera hari ini.
Pada Nur Sumayyah,
menjaga makan minum Fahem teramatlah senang. Tidaklah cerewet mana. Asalkan ada
pedas, ikan, daging atau ayam, serta tidak ketinggalan sayur.
Nur Sumayyah menyuap
perlahan nasi ke mulutnya. Perlakuannya itu diperhatinya oleh suaminya.
“Sayang, kenapa? Tak
sihat ke?” soal Fahem. Risau juga dia.
Sepatutnya isterinya
yang makan bertambah kerana berbadan dua, ini… dia pula yang menambah. Rasanya,
ini sudah kali kedua menambah nasi. Patutlah Nizam selalu mengatakan badannya
sudah sedikit berisi. Tetapi pada Fahem, dia tetap segak dan macho seperti
biasa!
“Sumayyah risaulah,
bang.” Nur Sumayyah meluahkan kegusarannya.
“Risau kenapa?” soal
Fahem sambil mencubit sedikit ikan masin sepat.
“Sejak akhir-akhir ni,
Sumayyah rasa macam ada orang follow kereta
Sumayyah dari belakang.” Fahem mengangkat kepala.
“Follow yang
macam mana?” soalnya lagi. Dia yang sudah selesai makan, meneguk sedikit oren
sunquick.
“Setiap kali Sumayyah
balik dari sekolah, mesti ada kereta Honda Accord yang ikut Sumayyah dari
belakang.” Nur Sumayyah menceritakan serba sedikit.
Fahem mengerutkan dahi.
“Perasaan Sumayyah saja, kot? Kereta yang sama ke?” soal Fahem. Nur Sumayyah
mengangguk lagi.
“Kereta okey tak?” soal
Fahem. Nur Sumayyah mengerutkan dahi. Suami aku ni, kenapa? Risaukan kereta
daripada aku! Hatinya menggerutu.
“Abang ni, sepatutnya
abang tanya Sumayyah ni yang okey ke tak! Ini tidak, kereta tu juga yang
ditanya dulu!” sebal hati si isteri seketika.
Fahem hanya tersengih. Dia
membelikan Nur Sumayyah sebuah BMW 5 Series beberapa minggu lalu. Keputusan itu
diambil setelah Nur Sumayyah asyik mengadu Proton Wiranya selalu sahaja rosak.
Itu pun pada mulanya Nur Sumayyah menolak, katanya hanya ingin menggunakan
kereta biasa sahaja, sesuai dengan gajinya. Takut juga pegawai SPRM
mengejarnya. Namun Fahem tetap berkeras. Dia tahu Nur Sumayyah sama dengan
dirinya, peminat tegar kereta buatan Jerman.
“Abang bukan apa,
kereta baharu tu! Takut juga kalau orang tu tembak ke, langgar ke!”
Nur Sumayyah terdiam
seketika. Pertama kali dia membawa kereta berwarna hitam itu ke sekolah, ramai
di kalangan cikgu menyindirnya. Yang paling sakit hati, ada yang sanggup
menuduhnya mengamalkan rasuah! Dia yang tidak suka mencari gaduh akhirnya
dengan selamba menjawab; “Akak lupa ke? Suami saya kan CEO syarikat besar!” Sejak
dari itu, tiada lagi telinganya mendengar sindiran-sindiran pedas dari rakan
sejawatan.
“Tak apalah, nanti
abang suruh budak-budak ini iring Sumayyah pergi balik sekolah,” ujar Fahem.
Nur Sumayyah mengangguk akur.
IZZUDDIN SUPPLIER HOLDINGS
“POSITIF, tuan! Memang mereka orang Mark. Kami dah siasat, mereka memang
ada rancangan untuk membunuh tuan.” Jawapan dari Razif membuatkan Fahem
mengerutkan dahinya seketika.
“Kenapa pulak mereka
nak bunuh aku?”
“Permintaan orang
atasan!” jawapan yang keluar dari corong telefon itu membuatkan Fahem semakin
berteka-teki.
“Siapa orang atasan
tu?”
“Kami belum siasat
lagi, tuan,”
“Tak apalah, kau orang
cari lagi apa sahaja maklumat. Nanti laporkan pada aku! Dan lagi satu. Mulai
esok, aku nak kau dengan Najib tolong iring Sumayyah pergi dan balik sekolah.
Faham!” tegas arahan diberikan.
“Faham tuan!” Razif
menerima arahan.
Klik! Talian dimatikan.
Fahem membiarkan dirinya dibelenggu segala persoalan. Maklumat yang diterima
dari Razif benar-benar membuatkannya terkedu dan keliru. Siapakah yang
benar-benar ingin membunuhnya? Dia sudah dapat meneka namun satu perkara yang
dia tidak faham, kenapa Mark perlu memburunya?
Mereka sudah mencapai
kata sepakat mengenai kawasan masing-masing. Dan Fahem, dia sebenarnya tidak
hairan dengan kawasan yang ditakluki oleh Mark. Tanpa melibatkan diri dengan dunia
mafia pun, dia boleh kaya. Namun apa yang membuatkan dia terpaksa masuk ke
dunia gelap itu dan bertelingkah dengan Mark adalah kerana hampir semua kawasan
yang dikuasai oleh lelaki bangsat itu kebanyakannya terdiri daripada para
pengusaha dan peniaga berbangsa Melayu, bangsanya sendiri.
Kebanyakan geng-geng kecil
yang sering memeras ugut wang perlindungan dari para peniaga sudah tumpas di
tangan kumpulannya. Rondaan yang dilakukan oleh orang-orangnya setiap minggu
membuatkan dia sentiasa berpuas hati. Tiada lagi pemeras ugut di kawasan mereka
dan kawasan sekitarnya.
Tatkala dia menyalurkan
maklumat itu kepada DSP Rayyan, lelaki itu benar-benar memuji tindakan
kumpulannya. Bersama-sama membantu pihak polis menjaga keselamatan dan
ketenteraman awam.
DIA benar-benar bengang apabila sebuah Toyota Vios secara tiba-tiba
memintas keretanya. Dalam hati, Fahem menyumpah seranah lelaki yang memandu
kenderaan tersebut.
Macam selalu nampak aje
kereta ni? Detik hatinya. Sebelum keluar dari kereta, dia sempat meraba pinggangnya,
ingin memastikan Pistol Mamba kesayangannya sentiasa berada di situ.
Dia menunggu di sisi keretanya. Tak lama
kemudian, seorang lelaki berbaju t-shirt biru gelap keluar dari tempat pemandu.
Perlahan-lahan, dia menghampiri Fahem.
“Aku nak bagi amaran
pada kau, jangan berani-berani nak ganggu Mazidah lagi!” Ikmal memberikan
amaran keras.
Fahem hanya tergelak
bersahaja tatkala mendengar amaran yang langsung dia tidak takut. Lupakah
lelaki itu, dia berhadapan dengan siapa sekarang ini? Fahem tahu Ikmal pasti
sudah mengetahui identitinya sebagai mafia. Ikmal yang semakin panas hatinya,
mengepalkan kedua belah tangannya menjadi penumbuk.
Fahem menepuk bahu
Ikmal perlahan-lahan. “Aku tak salahkan kau sebab jatuh hati pada dia. Mazidah
memang perempuan yang cukup pakej untuk dijadikan isteri. Cantik, pandai
bergaya, pandai masak. Senang kata, serba serbi tahulah. Tapi, kau perlu selami
hati dia… tanya pada dia betul-betul nama siapa yang dah terukir cantik dalam
hati dan jantung dia.”
Ikmal mahu melayangkan
penumbuknya namun…
“Ikmal, jangan!”
Mazidah keluar dari kereta dan mendekati mereka. Dia tidak mahu Pengurus Kewangan
muda itu mencari pasal dengan Fahem. Dari tadi dia memerhatikan situasi mereka
berdua dari dalam kereta Ikmal. Dia keluar bersama Ikmal pada malam ini pun
kerana hari ini merupakan hari jadi lelaki tersebut.
“Sudahlah tu! Janganlah
nak bertumbuk tepi jalan! Tak malu ke orang tengok?” perangai macam
budak-budak! Omel Mazidah dalam hati.
Automatik, kedua-dua lelaki tersebut menoleh
ke arah suara tersebut datang.
Makin lebar senyuman
Fahem.
“Long time no see, baby!” sapa Fahem kepada bekas setiausahanya.
Mazidah hanya merenung kosong wajah Fahem.
Suasana sunyi seketika.
Fahem dan Mazidah saling berpandangan. Ikmal mengambil peluang tersebut untuk
menatap wajah Mazidah, ingin melihat apakah reaksi wanita itu setelah lama
tidak berjumpa bekas kekasih hati. Walaupun pada waktu itu malam sudah
menjengah, dia dapat melihat satu reaksi dari wajah wanita itu.
Ya, reaksi seorang
wanita yang terlalu rindu kepada sang kekasih yang sudah dimiliki orang lain.
Selajur, dia merenung wajah putih bersih Fahem. Dari raut wajah lelaki itu,
terlakar sebuah perasaan yang sarat dengan rindu, khas untuk wanita di
hadapannya.
Apabila melihat keadaan
tersebut seperti tidak mahu pergi, Ikmal berdehem beberapa kali. Fahem dan
Mazidah, kedua-duanya tersentak.
“So, Ikmal… jangan marah aku bila kau tanya pada dia dan jawapannya…
nama Tuan Fahem Izzuddin masih elok terukir dalam hati dia.” Tanpa berlengah,
dia meninggalkan dua figura tersebut. Dan jawapan tersebut, benar-benar
membakar seluruh tubuh Ikmal.
BANDAR MELAKA
“Bos, kami memang dah
nak tembak tapi, tiba-tiba pulak ada kereta peronda polis. Takkan nak buat
pasal depan polis, bos? Free aje kami
kena tangkap nanti,” ujar salah seorang dari mereka.
Lelaki yang dipanggil
bos itu terdiam seketika. Betul juga. Detik hatinya. Lantas dia memandang
keempat-empat orang bawahannya itu.
“Aku nak kau orang
intip dia. Dapat saja peluang, terus bunuh. Faham!” semuanya mengangguk faham.
Siap kau kali ni, Tuan
Fahem Izzuddin! Aku akan lenyapkan kau dari muka bumi. Azamnya dalam hati.
“Bos, bini dia macam
mana?” soal salah seorang dari mereka. Lelaki yang dipanggil bos mengangkat
kepala yang baru sahaja tunduk.
“Bini dia? Bini dia…
hmm… jangan buat apa-apa. Cuma intip aje. Sebab aku cuma nak gertak dia.” ‘Bos’
memberi arahan kepada anak-anak buahnya. Mereka mengangguk faham. Mereka mula
bersurai untuk menjalankan tugas-tugas yang diberikan.
Sementara ‘bos’ pula
duduk di sofa sambil memikirkan sesuatu di dalam kepalanya. Perlahan-lahan,
senyuman jahatnya terukir. Dia sudah tidak sabar untuk mendapatkan habuannya
setelah membunuh ‘kembar’ Jet Li itu nanti.
Ketawa yang pada
mulanya perlahan, bertukar menjadi kuat dan menakutkan. Zaman kejatuhan kau
akan bermula, Tuan Fahm Izzuddin…